KUALA LUMPUR 17 Julai - Lembaga Piawaian Pengiklanan Malaysia (ASA) mengumumkan pelantikan Datuk Mah Weng Kwai sebagai pengerusi baharunya, baru-baru ini.
Beliau menggantikan Azizul Kallahan yang berkhidmat dengan ASA selama tiga tahun.
Dengan kerjaya cemerlang sebagai peguam sehingga menjadi ahli hakim yang disegani di Mahkamah Rayuan, Mah dicari secara meluas sebagai penasihat dan penimbang tara.
Beliau kini merupakan pengerusi lembaga pengarah Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti, sebuah syarikat di bawah Suruhanjaya Sekuriti.
ASA adalah pengawal selia bebas Malaysia bagi pengiklanan merentas media bukan penyiaran dan bukan rangkaian, akhbar dan majalah bercetak, poster, mel terus, pembungkusan, risalah dan brosur, iklan pawagam dan papan iklan.
Ia memastikan pematuhan peraturan kendiri dengan menggunakan Kod Amalan Pengiklanan Malaysia dan menetapkan piawaian industri untuk iklan yang sah, sopan, jujur, bertanggungjawab dari segi sosial dan benar.
Peranan pengawal selia kendiri bebas adalah untuk bertindak menyelesaikan kesulitan antara ahli industri, yang timbul berhubung kod serta mengawal selia iklan sama ada akibat aduan oleh ahli industri atau orang awam.
ASA ditubuhkan di bawah naungan dan disokong oleh lima ahli konstituennya: Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia, Persatuan Pengiklan Malaysia, Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia, Persatuan Pakar Media Malaysia dan Persatuan Pengiklanan Luar Malaysia. - DagangNews.com