Lembaga Teknologis Malaysia iktiraf warga teknikal ATM | DagangNews Skip to main content

Lembaga Teknologis Malaysia iktiraf warga teknikal ATM

Sijil profesional MBOT telah diserahkan oleh Dr. Md Fauzi Md Ismail, Pendaftar MBOT kepada Brig. Jen. Dato’ Ir. Ts. Khairul Said Mohd Ali, Pengarah Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD) di sini sempena sambutan Hari Ulang Tahun Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja ke-65 pada 15 Julai lalu.

PORT DICKSON 18 Julai – Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) menyampaikan sijil pengiktirafan profesional kepada seramai 76 pegawai dan anggota Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja, yang telah diiktiraf sebagai Teknologis Profesional (Ts.) dan Juruteknik Bertauliah (Tc.).

 

Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja merupakan satu cabang teknikal utama ATM yang terdiri daripada para pegawai dan anggota yang terlibat secara langsung dalam bidang Teknologi dan Teknikal, kata MBOT dalam kenyataan di sini.

 

Pengiktirafan MBOT kepada tenaga kerja teknikal ATM ini membuktikan mereka bukan sahaja kompeten dalam menjalankan kerja-kerja teknologi dan teknikal, malah mereka kini bernaung di bawah badan profesional.

 

Para pegawai dan anggota yang diiktiraf meliputi tiga bidang utama iaitu Teknologi Automotif, Teknologi Elektrikal dan Elektronik serta Teknologi Pembuatan dan Industri.

 

Sijil profesional MBOT telah diserahkan oleh Dr. Md Fauzi Md Ismail, Pendaftar MBOT kepada Brig. Jen. Dato’ Ir. Ts. Khairul Said Mohd Ali, Pengarah Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD) di sini sempena sambutan Hari Ulang Tahun Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja ke-65 pada 15 Julai lalu.

 

“Sebagai sebuah badan yang mengiktiraf profesionalisme seseorang berdasarkan kepakaran teknologi dan teknikal, MBOT senantiasa menyokong inisiatif-inisiatif berkaitan peningkatan profesionalism khususnya kepada agensi-agensi pertahanan dan badan uniform.

 

“Ini turut memberi nilai tambah kepada mereka sekiranya mereka berhasrat membina kerjaya dalam industri berkaitan setelah tidak lagi berkhidmat sebagai dengan ATM,” kata Md Fauzi.

 

Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) merupakan sebuah badan profesional yang memberikan pengiktirafan profesional kepada Teknologis dan Juruteknik dalam bidang teknologi dan teknikal.

 

MBOT telah ditubuhkan di bawah Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 [Akta 768] untuk mengiktiraf, mengawal, menggalak dan membangunkan profesion teknologis dan juruteknik sebagai profesion ikhtisas. - DagangNews.com