KUALA LUMPUR 5 Nov - Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) mengumumkan inisiatif terbaharu dengan menubuhkan Woman Technologist Chapter (WTC) bagi mempergiatkan penglibatan teknologis dan juruteknik profesional kalangan kaum wanita.
Presidennya, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, sebagai wanita yang berkerjaya, mereka haruslah menonjolkan nilai serta potensi diri agar dapat berdaya saing dalam mendepani dunia yang penuh dengan cabaran dan kecanggihan teknologi masa kini.
“Kita juga harus mengetengahkan profesional-profesional wanita bukan sahaja di peringkat utama, malah di peringkat pengurusan dan pertengahan. Program seperti hari ini juga merupakan suatu platform yang baik untuk kita sama-sama membina dan memperkukuhkan jaringan professional kita.
"Kita telah melihat kehebatan wanita dalam menerajui organisasi-organisasi terkemuka seperti Datin Lim Bee Wah, selaku Pengurus Besar Kumpulan Small, Medium and Corporate (SMC), Microsoft Malaysia dan Raja Azrina Raja Othman sebagai Chief Information Security Officer, Telekom Malaysia.
"Kita sememangnya mempunyai kaum hawa yang prominent dan hebat dalam memacu negara kearah ekonomi mampan dan perkembangan teknologi.
"Dapatan MBOT menunjukkan bahawa masih terdapat jurang perbezaan yang besar daripada segi pengiktirafan profesional, di mana dari tahun 2017 sehingga Oktober 2022 hanya seramai 3,739 (22%) pengiktirafan teknologis profesional dan 128 (7%) juruteknik bertauliah adalah dari kalangan wanita,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi Jawantankuasa Woman Technologist Chapter, Sharifah Zaida Nurlisha Syed Ibrahim pula berkata, penubuhan WTC adalah satu inisiatif MBOT bagi meningkatkan keteserlahan serta penglibatan wanita dalam bidang teknologi dan teknikal.
Katanya, matlamat WTC adalah bagi memberi sokongan kepada profesional wanita dalam mencapai potensi diri agar lebih berdaya saing dalam mencapai keseimbangan profesion dan kehidupan harian agar lebih dinamik dalam mendepani cabaran wanita-wanita dalam kerjaya, peribadi dan masyarakat.
“Saya juga berharap agar inisiatif ini menjadi platform bagi teknologis-teknologis wanita membina rangkaian untuk meningkatkan lagi keterserlahan mereka dalam profesion ini.
“Bagi mendokong misi dan visi MBOT serta merealisasikan inisiatif WTC, Jawatankuasa juga secara proaktif telah menggariskan pelbagai program untuk mendayaupayakan WTC, antaranya Jelajah Jerayawara Teknologis Wanita; Women in Tech Mentor Mentee Program dan libat urus dengan pemegang taruh berkaitan,” katanya.
Dalam majlis ini juga, MBOT turut mengumumkan perancangan untuk memberikan penganugerahan Women in Technology and Technical Leadership Award, yang julung kali diperkenalkan bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan wanita dalam profesion Teknologis dan Juruteknik.
Pencalonan adalah daripada kalangan Teknologis dan Juruteknik wanita yang telah menyumbangkan banyak jasa dalam pembangunan kemajuan industri teknologi dan teknikal. - DagangNews.com