Lembah Automotif Berteknologi Tinggi bakal jadikan Malaysia hab pengeluar kenderaan elektrik | DagangNews Skip to main content

Lembah Automotif Berteknologi Tinggi bakal jadikan Malaysia hab pengeluar kenderaan elektrik

Oleh JOHARDY IBRAHIM

TANJUNG MALIM 12 April - Penubuhan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) adalah seiring dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab pengeluar kenderaan elektrik dan pembekal komponen ke pasaran ASEAN, bahkan ke pasaran yang lebih luas lagi.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan AHTV telah dicadangkan lebih 10 tahun lalu bagi memantapkan operasi pengilangan PROTON dari Shah Alam, Selangor ke Tanjung Malim, supaya lebih berpusat dan mampu meningkatkan produktiviti.

 

Menurutnya, pembangunan ini juga dilihat dapat menarik minat pelabur-pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar.

 

Katanya, jika di negara lain seperti Amerika Syarikat boleh bangga dengan Detroit, sebuah daerah yang terkenal dengan industri pembuatan keretanya, tidak mustahil satu hari nanti, Tanjung Malim akan dikenali sebagai hab permotoran yang hebat di rantau ini. 

 

Selain itu ujarnya, Tanjung Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.

 

Perdana Menteri turut mencadangkan agar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang juga terletak dalam wilayah High-tech Valley, membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan iaitu Center of Advanced Automotive Research and Training (CAART) bagi memenuhi keperluan dari segi tenaga kerja terlatih, pendidikan, dan juga penyelidikan.

 

''Dilengkapi dengan bilik kuliah, kemudahan penginapan dan makmal berteknologi tinggi, CAART di Universiti Pendidikan Sultan Idris ini akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan, latihan kemahiran, pembangunan sumber manusia, serta penyelenggaraan yang berkaitan dengan teknologi automotif terkini.

 

''Ini bagi memastikan permintaan dan bekalan dari segi teknologi terkini, latihan serta sumber tenaga manusia di Automotive High Tech Valley ini dapat dilestarikan secara produktif,'' kata Perdana Menteri semaca berucap melancarkan AHTV di sini hari ini.


 

PM

 


Ismail Sabri berkata, pembangunan lain yang mempunyai rantaian ekonominya seperti Taman Perindustrian dan pembangunan hartanah bagi tujuan komersial secara keseluruhannya berpotensi menjana sebanyak RM32 bilion menjelang tahun 2030.

 

Pada masa sama ujar beliau, AHTV juga disasarkan menjadi pusat rujukan Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) bagi teknologi berasaskan pematuhan iklim global dengan penubuhan Universiti Penyelidikan yang signifikan dengan industri ini.

 

''Secara tidak langsung, pembangunan berkenaan dapat memberi tumpuan kepada kemajuan kenderaan elektrik yang menjadi hala tuju masa depan industri automotif dengan memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi mutakhir.

 

''Usaha membangunkan AHTV sebagai hab baharu pengeluaran kenderaan elektrik ini adalah selari dengan hasrat dan komitmen Kerajaan ke arah pencapaian matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selain menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang tahun 2050,'' ujar beliau.

 

Perdana Menteri berkata, Kerajaan berharap projek pembangunan ini akan dapat memacukan pembangunan industri hiliran dan lain-lain sektor yang menumpukan teknologi terkini terutamanya dalam penggunaan dan pengurusan sumber yang cekap sekali gus mengurangkan kesan rumah hijau. - DagangNews.com