Lembah Klang alami gangguan bekalan air hingga 68 jam bermula 30 Mac-9 April | DagangNews Skip to main content

Lembah Klang alami gangguan bekalan air hingga 68 jam bermula 30 Mac-9 April

gangguan bekalan Air Selangor

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Mac. - Wilayah-wilayah di Lembah Klang bakal berdepan dengan gangguan bekalan air berjadual akibat kerja-kerja penyenggaraan untuk beberapa aset utama Air Selangor yang dilaksanakan pada tahun 2021.

 

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Elina Baseri dalam satu kenyataan berkata berkata, kerja penyelenggaraan tersebut adalah bagi memastikan perkhidmatan bekalan air yang berterusan dapat diberikan kepada pengguna pada masa hadapan.

 

Menurut Air Selangor, kerja-kerja penyenggaraan yang mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu akan dijalankan secara berjadual seperti berikut;

 

1) Gangguan bekalan air 48 jam di Wilayah Petaling, Klang & Shah Alam (30 Mac-1 April)

  • Bekalan air terganggu di wilayah berkenaan akibat kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam.
  • Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip ini akan dijalankan pada 30 Mac 2021, jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam. 
  • Kerja-kerja ini telah dijadualkan pada 12 Januari 2021 tetapi ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 
  • Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip ini akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 5 kawasan di Wilayah Petaling, 14 kawasan di Wilayah Klang dan 11 kawasan di Wilayah Shah Alam bermula jam 9:00 pagi, 30 Mac 2021. 
  • Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9:00 malam, 1 April 2021.


 

2) Gangguan bekalan air 68 jam di Wilayah Gombak & Kuala Lumpur (6-9 April)

  • Bekalan air terganggu di wilayah berkenaan akibat kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates dan menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju.
  • Kerja-kerja penggantian injap ini akan dilaksanakan pada 6 April 2021, jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam.
  • Berikutan henti tugas ini, 12 kawasan di Wilayah Gombak dan 46 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula jam 9.00 pagi, 6 April 2021. 
  • Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada 9 April 2021, jam 5:00 pagi.

 

Mengulas lanjut, Elina memberitahu, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada kuantiti bekalan air, jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

 

"Air Selangor ingin menasihatkan para pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

 

"Air Selangor ingin menjelaskan bahawa pelaksanaan kerja-kerja berjadual ini dilaksanakan bagi membolehkan aset-aset utama dan sistem pengagihan bekalan air berada pada tahap yang baik. 

 

"Penambahbaikan infrastruktur paip ini juga adalah sebahagian daripada usaha Air Selangor dalam meningkatkan mutu perkhidmatan terbaik demi keselesaan para pengguna di masa hadapan," jelas beliau lagi. - DagangNews.com