Lengkap vaksin dibenarkan bersukan, riadah di negeri Fasa 2 PPN | DagangNews Skip to main content

Lengkap vaksin dibenarkan bersukan, riadah di negeri Fasa 2 PPN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Individu yang lengkap divaksin di negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenar menjalani aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.

 

"Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house adalah dibenarkan selaras dengan kebenaran dine-in. Pemilik premis perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 yang menunjukkan bahawa individu itu sudah menerima vaksinasi lengkap.

 

"Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah tidak dibenarkan. Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan," katanya ketika menyampaikan pengumuman khas Perdana Menteri berkenana kemudahan bagi individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap hari ini.

 

Aktiviti dibenarkan itu kata Muhyiddin adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.

 

Dalam pada itu, Muhyiddin juga berkata aktiviti pelancongan dalam negeri bagi negeri fasa dua PPN dan seterusnya dibenarkan membabitkan aktiviti di homestay dan hotel bermula Selasa ini.

 

"Pengusaha homestay dan hotel perlu pastikan mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 yang menunjukkan bahawa individu berkenaan sudah menerima vaksinasi lengkap," katanya. - DagangNews.com