Leon Fuat labur RM5.26 juta bagi pemasangan panel solar | DagangNews Skip to main content

Leon Fuat labur RM5.26 juta bagi pemasangan panel solar

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - LEON FUAT BERHAD (Leon Fuat), sedang mengorak langkah ke arah mempunyai operasi pengeluaran penjanaan tenaga mampan melalui pelaburan berjumlah RM5.26 juta dalam panel solar.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Leon Fuat, Ooi Seng Khong berkata, pelaburan itu adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif kemampanan Kumpulan dan panel tersebut akan dipasang secara berperingkat-peringkat bergantung kepada kesediaan tapak projek.

 

“Kami melihat langkah ini sebagai pelaburan yang baik untuk alam sekitar dalam jangka panjang untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida kerana kami menggunakan tenaga suria boleh diperbaharui dan ia juga akan mengurangkan kos penggunaan tenaga. 

 

"Inisiatif ini akan membantu dalam inisiatif pengurusan tenaga kami dan tenaga solar  merupakan tenaga mampan alam sekitar serta berkesan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, pihak Kumpulan telah memantau penggunaan elektrik dan bahan api sebagai sebahagian daripada inisiatif kemampanannya sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 dan menyedari keperluan untuk mendapatkan sumber tenaga yang lebih mampan untuk operasi pemprosesan keluli.

 

"Pemasangan panel solar fotovoltaik dengan kapasiti 2.1 juta kWj setahun itu dijangka dapat menjimatkan kita-kira 30%  penggunaan elektrik setahun apabila panel solar siap sepenuhnya," katanya.

 

Beliau berkata, tiga daripada anak syarikat yang terlibat dalam pemprosesan keluli menggunakan sejumlah 4.9 juta kWj elektrik pada 2020, iaitu peningkatan 37.1% daripada 2019. 

 

“Kami akan terus membina kapasiti organisasi untuk menyesuaikan diri dengan masa depan yang mampan sambil memberi tumpuan mengenai strategi untuk meningkatkan produktiviti melalui amalan mampan dan membawa nilai kepada pemegang kepentingan kami,” katanya. -DagangNews.Com