Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Dis - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melanjutkan tarikh akhir pembayaran cukai untuk pembayar cukai dan majikan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
LHDN berkata tarikh akhir pembayaran anggaran cukai perlu dibayar (CP204) bagi Disember 2021 telah dilanjutkan kepada 31 Januari 2022.
Pada masa sama, ia berkata bayaran ansuran untuk siasatan, audit, dan yuran guaman sivil untuk Januari telah ditangguhkan kepada Februari 2022.
"Bencana banjir yang telah melanda beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia baru-baru ini telah memberi kesan kepada liabiliti serta obligasi pembayar cukai dan / atau majikan untuk membuat bayaran cukai dalam tempoh yang ditetapkan.
"Ini termasuklah bayaran anggaran cukai, ansuran cukai sama ada di peringkat siasatan, audit, pungutan dan guaman sivil serta bayaran Potongan Cukai Bulanan (PCB) pekerja.
" tas dasar keprihatinan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terhadap pembayar cukai dan / atau majikan yang terjejas akibat bencana banjir ini, penangguhan bayaran cukai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
LHDN memaklumkan, tarikh akhir bayaran PCB dan / atau CP38 pekerja bagi bulan saraan Disember 2021 dilanjutkan untuk diremit sehingga 31 Januari 2022.
" Selain itu, bayaran baki cukai dibenarkan penangguhan sehingga ke suatu tempoh yang dimohon oleh pembayar cukai," katanya.
Tambahnya, pembayar cukai atau majikan yang terjejas perlu mengemukakan permohonan penangguhan bayaran cukai ini kepada HASiL sama ada melalui e-mel kepada [email protected] atau melalui Borang Maklum Balas yang boleh dicapai di portal rasmi HASiL.
"Dokumen yang perlu dikemukakan bagi menyokong permohonan tersebut adalah berdasarkan kepada merit kes.
"Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada HASiL melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat; dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/," katanya. -DagangNews.com