LHDN sekat perjalanan lebih 180,000 individu akibat tunggakan cukai - MoF | DagangNews Skip to main content

LHDN sekat perjalanan lebih 180,000 individu akibat tunggakan cukai - MoF

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 1 April - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengambil tindakan sekatan perjalanan ke atas 182,666 individu sejak undang-undang mengenainya dikuatkuasakan sehingga 29 Februari 2024.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah ini melibatkan sebanyak 171,571 bilangan kes individu yang mempunyai tunggakan cukai pendapatan, manakala sebanyak 11,095 kes adalah bagi individu yang mempunyai tunggakan cukai keuntungan harta tanah.

 

"LHDN menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 104, Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976. 

 

"Sekatan perjalanan ke luar negara ini dikenakan ke atas mana-mana individu yang masih tidak menjelaskan tunggakan cukai pendapatan atau cukai keuntungan harta tanah," katanya dalam sesi soal soal jawab di Dewan Negara hari ini.

 

lim
LIM HUI YING/ Gambar Parlimen

 

Beliau menjawab soalan Senator Datin Hajah Ros Suryati Alang yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan statistik bilangan kes sekatan perjalanan yang diambil oleh LHDN kepada individu atau pembayar cukai apabila mereka gagal memperbaharui pasport di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia.

 

Menurut Hui Ying, LHDN mendapat kerjasama daripada Jabatan Imigresen untuk melaksanakan tindakan sekatan perjalanan bagi menghalang individu atau pengarah syarikat yang culas membayar tanggungan cukai dari membuat perjalanan ke luar negara.

 

Beliau berkata, sebelum sekatan perjalanan dikuatkuasakan, LHDN akan melaksanakan tindakan awal kepada pembayar cukai yang mempunyai tunggakan dengan menghantar beberapa surat peringatan dan mengeluarkan e-mel pemakluman tunggakan cukai serta menghubungi mereka dengan panggilan telefon.

 

"Namun kegagalan menyelesaikan bayaran tunggakan cukai mengikut tempoh yang ditetapkan akan mengakibatkan pembayar cukai berdepan dengan tindakan sekatan perjalanan ke luar negara," jelasnya.

 

kios
Semakan perjalanan boleh dilakukan sebelum berlepas menerusi laman web LHDN dan Jabatan Imigresen./Gambar hiasan Imigresen KLIA

 

Jelas beliau, tindakan sekatan perjalanan ini bukan bertujuan untuk menafikan hak sesiapa untuk bergerak, namun ia dilaksanakan sebagai salah satu medium bagi memberikan keadilan kepada pembayar cukai yang patuh sekali gus untuk menjamin tidak berlaku ketirisan hasil negara. 

 

Ujar Hui Ying, ia juga sebagai langkah untuk melahirkan komuniti pembayar cukai yang patuh dan bertanggungjawab yang berkongsi kemakmuran mereka dalam usaha secara bersama-sama membangunkan negara.

 

 

"Bagi mengelakkan urusan ke luar negara terganggu disebabkan kesalahan tidak membayar tunggakan cukai kepada Kerajaan, LHDN melalui pelbagai platform sentiasa menasihati semua pembayar cukai untuk terlebih dahulu menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan sebelum merancang sebarang perjalanan ke luar negara.

 

"Pembayar cukai boleh menyemak status tunggakan cukai melalui portal MyTax, selain membuat semakan sekatan perjalanan di laman web Jabatan Imigresen Malaysia sekiranya terdapat sekatan yang dikuatkuasakan oleh lain-lain agensi," katanya.

 

Tambah beliau,sekiranya pembayar cukai disekat semasa di lapangan terbang, pegawai imigresen akan merujuk pembayar cukai kepada pegawai perhubungan awam LHDNM untuk mengambil tindakan bagi tujuan pelepasan ke luar negara. 

 

"Berdasarkan hasil rundingan antara pembayar cukai dan pegawai perhubungan awam LHDNM, pelepasan akan diberikan dengan segera selepas kaedah penyelesaian tunggakan cukai dipersetujui, sama ada pembayaran sebahagian atau sepenuhnya.

 

"Bagi pembayar cukai yang mempunyai rekod tunggakan dan telah dikenakan tindakan sekatan perjalanan, pembayar cukai tersebut dinasihatkan menghubungi pejabat LHDN yang mengendalikan fail cukai agar penyelesaian terbaik dapat dicapai dan seterusnya membolehkan membuat perjalanan ke luar negara," tegasnya.- DagangNews.com