Liberty Insurance perkenal produk perlindungan komprehensif kenderaan Tesla serba baharu | DagangNews Skip to main content

Liberty Insurance perkenal produk perlindungan komprehensif kenderaan Tesla serba baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Julai - Liberty Insurance mengumumkan kerjasama sebagai Rakan Insurans Pilihan Tesla di Malaysia bagi melancarkan Produk Perlindungan Komprehensif InsureMyTesla yang menawarkan perlindungan untuk kenderaan elektrik (EV) Tesla serba baharu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AmGeneral Insurance Bhd, Puneet Pasricha berkata, perlindungan ini direka untuk memberikan ketenangan minda kepada pemilik Tesla, yang mana ia dilengkapi dengan pakej komprehensif disesuaikan bagi memenuhi keperluan khusus pemilik kenderaan tersebut di negara ini. 

 

Katanya, sebagai penyedia insurans pilihan Tesla, pihaknya bersedia untuk menjayakan keperluan para pemilik Tesla di negara ini dan memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk mereka. 

 

"Pemilik Tesla akan merasa lebih yakin dengan perlindungan yang disediakan syarikat insurans kami. 

 

"Saya percaya bahawa kerjasama yang mantap ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada kedua-dua syarikat tetapi juga para pelanggan kami dan pemilik Tesla di Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Beliau berkata, pelancaran Produk Perlindungan Komprehensif InsureMyTesla ini adalah selaras dengan usaha syarikat tersebut dalam menyokong agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Malaysia. 

 

Katanya, pelancaran produk ini dan kerjasama dengan Tesla menunjukkan komitmen mereka bagi menyumbang kepada masa depan yang mampan. 

 

 

libert
                                        Puneet Pasricha

 

 

"Sebagai penyedia insurans yang berpandangan jauh, ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif kami untuk menyertai peralihan global ke arah teknologi yang lebih hijau," katanya.

 

Kerjasama Liberty Insurance dengan Tesla melangkaui sempadan negara Malaysia. Di rantau Asia, Tesla mempunyai kerjasama serantau yang sedia ada dengan Liberty Insurance di Hong Kong, Singapura dan Thailand. 

 

Ini menjadikan Liberty Insurance Malaysia sebagai tambahan terkini kepada rangkaian serantau sebagai penyedia insurans pilihan Tesla.

 

 

liberty

 

 

Perlindungan Komprehensif InsureMyTesla juga menawarkan rangkaian perlindungan tambahan, termasuk perlindungan untuk cermin depan, bahaya khas, liabiliti undang-undang kepada penumpang dan liabiliti undang-undang oleh penumpang.

 

Untuk maklumat tambahan mengenai Perlindungan Komprehensif InsureMyTesla Liberty Insurance, layari www.libertyinsurance.com.my. - DagangNews.com