KUALA LUMPUR 12 Jun - Life Water Berhad memperoleh hartanah seluas 0.8 hektar (1.98 ekar) di Tawau, menandakan satu kejayaan penting dalam rancangan pembesarannya bagi menempatkan kemudahan pengedaran baharu.
Ditubuhkan pada 2002 di Sandakan, Life Water telah berkembang menjadi pengeluar minuman tempatan yang terkemuka.
Syarikat itu mengendalikan kemudahan pembuatan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan Keningau, bersama dengan pusat pengedaran di Sandakan, Lahad Datu, dan Kota Kinabalu.
Pengasas bersama Life Water, Liaw Hen Kong berkata, pemerolehan terbaru ini ditetapkan untuk meningkatkan keupayaan Life Water untuk melayani pelanggan dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi produk minumannya iaitu Air Minuman K2, Air Minuman Sasa, Minuman Isotonik Tritonic dan 2 lagi Minuman Berkarbonat di pasaran Pantai Timur Sabah menjelang 2025.
Beliau berkata, perluasan ke Tawau juga dijangka mewujudkan peluang pekerjaan baharu, menyumbang kepada ekonomi tempatan dan memupuk pertumbuhan masyarakat.
Katanya, kejayaan Life Water selama ini telah didorong oleh komitmennya terhadap kualiti, inovasi dan amalan mampan.
Syarikat itu tetap berdedikasi untuk kepuasan pelanggan, memastikan produknya kekal sebagai pilihan utama pengguna di seluruh rantau ini.
"Dengan kemudahan baharu di Tawau, Life Water bersedia untuk meningkatkan kecekapan pengedaran dan ketersediaan produk, seterusnya mengukuhkan kehadiran pasarannya di Sabah.
"Pelaburan strategik ini mencerminkan dedikasi berterusan Life Water terhadap pertumbuhan dan kecemerlangan dalam industri minuman," kata Liaw. - DagangNews.com