Lii Hen Industries berdepan pelbagai cabaran termasuk kelewatan penghantaran barangan | DagangNews Skip to main content

Lii Hen Industries berdepan pelbagai cabaran termasuk kelewatan penghantaran barangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Lii Hen Industries Berhad berdepan pelbagai cabaran termasuk kekurangan pekerja asing, peningkatan kos bahan mentah selain kelewatan penghantaran barangan yang mengakibatkan peningkatan caj penghantaran.

 

Firma penyelidikan, Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, berlaku sedikit penurunan dari segi pendapatan berpunca penangguhan penghantaran oleh pelanggan pada 4Q21 dan keuntungan kumpulan hadir selepas membuat pelarasan bagi kerugian tukaran mata wang asing, keuntungan daripada pelupusan PPE, keuntungan nilai saksama bagi instrumen derivatif dan aset biologi berjumlah RM1.4 juta.

 

"Kami bagaimanapun tidak terlalu bimbang dengan keputusan itu kerana ia berpunca daripada kelewatan penghantaran produk yang menyebabkan kelewatan pengiktirafan hasil ke suku berikutnya.

 

"Kami juga menjangkakan cabaran Lii Hen akan berkurangan pada masa hadapan terutama pengambilan pekerja asing yang akan membantu menyelesaikan kekurangan tenaga kerja yang dihadapi kumpulan itu dan pada masa sama akan meredakan tekanan rantaian bekalan.

 

"Ia juga akan membantu mengurangkan tekanan inflasi ke atas kos bahan mentah selain kumpulan itu juga akan mendapat manfaat daripada pendapatan faedah yang lebih tinggi daripada kedudukan tunai bersihnya sebanyak RM127.7 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Lii Hen Industries mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) 4Q21 adalah sebanyak RM12.1 juta menjadikan jumlah penuh bagi FY21 kepada RM37.6 juta.

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik unjuran pendapatan Lii Hen Industries sebanyak 6.3% selepas mengambil kira kelewatan penghantaran produk daripada 4Q21.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' untuk Lii Hen Industries dengan sasaran harga tidak berubah sebanyak RM3.90 sesaham.

 

"Kami juga kekal optimis terhadap prospek syarikat yang disokong oleh permintaan eksportnya yang kukuh selain berdepan penurunan dari segi cabaran seperti yang dinyatakan," katanya. - DagangNews.com