5 negeri - Pulau Pinang, Selangor, Johor, Sarawak, KL kuasai eksport Malaysia sumbang 81.1% pada Disember 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

5 negeri - Pulau Pinang, Selangor, Johor, Sarawak, KL kuasai eksport Malaysia sumbang 81.1% pada Disember 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM225.1 bilion pada Disember 2023 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM118.5 bilion dan RM106.7 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia pada Disember 2023 bernilai RM118.5 bilion, menurun sebanyak RM13.2 bilion (-10%) berbanding bulan sama tahun sebelumnya. 

 

Katanya, penurunan eksport dipengaruhi eksport lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Johor (-RM5 bilion), Pulau Pinang (-RM3.3 bilion), Selangor (-RM3 bilion), W.P. Labuan (-RM2.1 bilion), Sarawak (-RM904.8 juta), Perak (-RM569 juta), Melaka (-RM529.7 juta), Sabah (-RM186.8 juta), Negeri Sembilan (-RM125.3 juta), Kelantan (-RM74.4 juta) dan Perlis (-RM16.6 juta). 

 

"Bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Kedah sebanyak RM850.4 juta, Terengganu (+RM673.6 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+RM539.8 juta) dan Pahang (+RM58 juta)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.5%, diikuti Selangor (17.4%), Johor (17.2%), Sarawak (9.4%) dan Kuala Lumpur (5.6%).

 

Beliau berkata, import pada bulan Disember 2023 meningkat RM3 bilion (+2.9%) berbanding bulan sama pada 2022. 

 

Katanya, peningkatan import disebabkan import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (RM1.6 bilion), Kuala Lumpur (RM1.5 bilion), Pulau Pinang (RM926.0 juta), Negeri Sembilan (RM343 juta), Pahang (RM308.9 juta), Terengganu (RM183.3 juta), Kelantan (RM139.8 juta) dan Labuan (RM16 juta). 

 

 

dosm

 

 

"Bagaimanapun, nilai import jatuh di Sarawak sebanyak RM588.1 juta, Melaka (-RM462.1 juta), Selangor (-RM292.1 juta), Perak (-RM268.5 juta), Sabah (-RM184.3 juta), Kedah (-RM113.3 juta) dan Perlis (-RM21.9 juta)," katanya.

 

Tambahnya, Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 26.2%, diikuti Pulau Pinang (22%), Johor (21.8%), Kuala Lumpur (7.8%) dan Kedah (5.5%). - DagangNews.com