Limpahan air Empangan Kenyir prosedur lazim, kata TNB | DagangNews Skip to main content

Limpahan air Empangan Kenyir prosedur lazim, kata TNB

 

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai agar tidak panik berikutan pengeluaran air melalui alur limpah Empangan Tasik Kenyir kerana ia adalah proses operasi biasa sesebuah empangan.

 

“Apabila air empangan di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud itu melepasi paras 145 meter, ia akan melimpah melalui alur limpah tidak berpintu dan ia tiada kaitan dengan pembukaan pintu empangan kerana tiada pintu di empangan tersebut.

 

“Empangan tersebut mampu menampung air tasik umpama tangki takungan yang sangat besar dan berfungsi sebagai tebatan banjir,” kata Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd, Datuk Nor Azman Mufti.

 

Menurutnya, air Empangan Kenyir yang keluar melalui alur limpah tidak berpintu itu bukanlah yang pertama kali berlaku, malah yang ke-11 sejak Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud beroperasi pada 1985.

 

Azman juga menjelaskan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah air empangan adalah taburan hujan yang luar biasa tinggi, berjumlah 400mm sejak 12 jam lalu.

 

Jelas Azman lagi, kesemua empat unit penjanaan di stesen jana elektrik itu beroperasi pada kapasiti penuh 400MW bagi memastikan paras air tasik dan integriti empangan dalam keadaan terkawal.

 

Tasik Kenyir yang berkeluasan 370 kilometer persegi itu mula dibina pada tahun 1978. Kawasan tadahannya berkeluasan 1,260 kilometer persegi merangkumi tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang. - DagangNews.com