KUALA LUMPUR 15 Feb - Syarikat teknologi hartanah, LiveIn memeterai perjanjian pembiayaan ketiga bersama Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) bagi menyokong rancangan pengembangan perniagaannya di Thailand.
Katanya, selain pengembangan perniagaan, ia adalah bagi menbiayai sebahagian modal kerja dan perbelanjaan modal syarikat itu di Malaysia.
Ia juga melengkapkan pembiayaan yang diperoleh baru-baru ini daripada pelabur global lain dari Singapura, Jepun, Korea dan Amerika Syarikat (AS), bekerjasama untuk memacu pengembangan strategik LiveIn di rantau ini.
"Pembiayaan terbaharu menandakan satu lagi kejayaan dalam perkongsian produktif antara MDV dan LiveIn, yang pertama kali dimulakan pada 2021, apabila LiveIn menerima pusingan pembiayaan pertama daripada MDV di bawah program Hutang Teroka MDV," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama LiveIn, Keek Wen Khai berkata, suntikan dana baharu itu mengukuhkan keyakinannya terhadap strategi pengembangan dan memberikannya sumber tambahan bagi mempercepatkan pelaburan syarikat itu di rantau ini.
Katanya, misi mereka adalah untuk menangani isu mendesak perumahan mampu milik untuk golongan muda dan telah mencapai kemajuan ketara ke arah mencapai matlamat itu dengan sokongan berterusan MDV.
"Potensi pasaran untuk LiveIn adalah meyakinkan dan kami kekal komited untuk meneroka pasaran baharu dan berinovasi untuk merevolusikan industri," katanya.
LiveIn memulakan langkah pengembangan ke Thailand pada 2020 ketika berdepan cabaran penularan COVID-19 dengna ia memberi tumpuan kepada mewujudkan hubungan dengan pemilik bangunan dan pemaju bagi mengembangkan rangkaian bilik yang tersedia di rantau ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri berkata, pembiayaan LiveIn adalah sejajar dengan mandat MDV dalam menyokong syarikat baharu teknologi berpotensi tinggi yang bersedia untuk memberi impak yang ketara dalam sektor mereka.
Beliau berkata, rekod pertumbuhan LiveIn dan pendekatan inovatif dalam sektor teknologi perumahan mencerminkan matlamat pihaknya sendiri untuk memupuk syarikat teknologi tempatan.
"Pembiayaan itu mewakili langkah penting dalam memperkukuh pertumbuhan syarikat permula teknologi Malaysia, menekankan kekuatan dan keupayaan sektor teknologi Malaysia dalam pasaran global," katanya. - DagangNews.com