Loji solar berskala besar milik Kumpulan Tan Chong di Serendah mula beroperasi | DagangNews Skip to main content

Loji solar berskala besar milik Kumpulan Tan Chong di Serendah mula beroperasi

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Feb - Loji Fotovoltaik Suria Berskala Besar (LSSPV) terapung di Serendah, Selangor milik TC Sunergy Sdn. Bhd. (TCS) mula beroperasi pada 5 Januari lalu dalam menjana tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

LSSPV Serendah adalah hasil daripada penyertaan Kumpulan Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) ke dalam projek solar fotovoltaik (PV) 20 megawatt di bawah LSSPV Bidding Cycle 4 (LSS@MEnTARI) oleh Suruhanjaya Tenaga pada 2020. 

 

Ini menandakan penyertaan pertama Kumpulan TCMH ke dalam sektor RE.

 

Loji solar terapung yang dibina di Sungai Rawang - Tasik Serendah itu dijangka membekalkan 1.04 juta MWh tenaga hijau kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) 25 tahun. 

 

Ini akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan sebanyak 610,221 tan karbon dioksida ke atmosfera, bersamaan dengan mengeluarkan 132,656 buah kereta dari jalan raya atau penanaman 29 juta batang pokok.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TCMH, Daniel Ho berkata, LSSPV Serendah merupakan satu peristiwa penting yang menandakan usaha pertama Kumpulan ke dalam sektor RE dan mampan. 

 

"Kumpulan TCMH berbesar hati dapat berperanan dalam bahagian kami bagi memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

solar

 

TCS ialah sebuah konsortium yang ditubuhkan melalui Tan Chong Motor Assemblies Sdn. Bhd. (TCMA), APM Shock Absorbers Sdn. Bhd. dan TCIM Sdn. Bhd. (TCIM). 

 

TCS akan menjalankan Operasi & Penyenggaraan (O&M) loji untuk memastikan kapasiti berlesen, keselamatan, kebolehpercayaan, ketersediaan dan kecekapan loji penjanaan dikekalkan sepanjang tempoh PPA mengikut dengan amalan utiliti yang berhemat dan mematuhi syarat-syarat Suruhanjaya Tenaga Lesen Penjanaan Awam.

 

Dalam usaha memelihara ekosistem tasik dan persekitarannya, kawasan terapung loji solar hanya menggunakan sehingga 60% daripada permukaan air untuk pemasangan sistem PV terapung bagi memelihara biodiversiti dan kualiti air sedia ada. 

 

Projek ini juga mematuhi garis panduan Pelan Pengurusan Alam Sekitar yang disediakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).- DagangNews.com