Lonjakan dividen penentu penilaian saham Petronas Dagangan | DagangNews Skip to main content

Lonjakan dividen penentu penilaian saham Petronas Dagangan

Petronas Dagangan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnewscom

 

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Pembayaran kadar dividen sesaham (DPS) yang lebih tinggi  menjadi faktor kepada penentuan semula saham syarikat Petronas Dagangan Bhd. (PDB).

 

CGS-CIMB Research berkata, DPS yang diumumkan syarikat tersebut pada kadar 38 sen bagi tahun kewangan 2020 adalah lebih tinggi berbanding jangkaan awal sebanyak 26 sen.

 

"Polisi pembayaran dividen PDB adalah lebih daripada 50% daripada keuntungan bersih. Namun, kami perhatikan bahawa pembayaran PDB adalah melebihi 100% selama dua tahun terakhir iaitu sebanyak 102% pada tahun kewangan 2019 dan 137% pada tahun kewangan 2020.

 

"Selama empat tahun sepanjang tahun kewangan 2015 hingga 2018, pembayaran purata adalah pada kadar 73% iaitu antara 63% pada tahun kewangan 2017 hingga 82% pada tahun kewangan 2018.

 

"Dengan tunai bersih RM2.53/saham dan rizab yang dapat diagihkan sebanyak RM4.72/saham pada 31 Disember 2020 serta keuntungan bersih tahunan sebanyak RM0.63-RM0.83/saham untuk tahun kewangan 2021/2023, PDB dengan mudah dapat membayar dividen yang lebih tinggi," jelas CGS-CIMB Research.

 

Menyentuh perkara sama, MIDF Research berkata, PDB mengumumkan dividen interim 17.0 sen pada suku keempat 2020.

 

Jumlah tersebut menjadikan dividen tahun kewangan 2020 yang diisytiharkan berjumlah 38 sen berbanding 85 sen dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Dividen yang diumumkan syarikat tersebut turut  mengatasi jangkaan dividen MIDF Research iaitu 24.6 sen. 

 

Syarikat tersebut berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM89.2 juta bagi tempoh suku keempat tahun kewangan 2020.

 

Jumlah tersebut menjadikan pendapatan terkumpul bagi tahun kewangan 2020 sebanyak RM272.2 juta.

 

Tambah MIDF Research, pihaknya turut mengurangkan jangkaan pendapatan PDB bagi tahun kewangan 2021 sebanyak -8.0% kepada RM670.8 juta.

 

"Kami berpendapat bahawa jumlah jualan akan terkesan pada suku pertama tahun kewangan 2021 akibat PKP 2.0 yang bermula 11 Januari hingga 4 Mac 2021.

 

"Bagaimanapun, kami tidak membuat perubahan dalam anggaran pendapatan tahun kewangan 2022," jelas MIDF Research. - DagangNews.com