Loob Holding beli 35% kepentingan strategik dalam WonderBrew | DagangNews Skip to main content

Loob Holding beli 35% kepentingan strategik dalam WonderBrew

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 13 Dis - Loob Holding Sdn Bhd mengumumkan pengambilalihan 35% kepentingan strategik dalam jenama kombucha terkemuka pasaran WonderBrew sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk menjadi syarikat portfolio minuman terbesar di Asia Tenggara.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob, Bryan Loo berkata, peluang untuk mengambil alih kepentingan strategik datang pada masa yang tepat kerana WonderBrew secara konsisten mengatasi keadaan pasaran umum, dengan jualan meningkat dua kali ganda pada 2020 dan sekali lagi tahun ini, walaupun terdapat gangguan operasi semasa pandemik.

 

"Kami melihat semangan keusahawanan sama yang dimiliki oleh Pengasas WonderBrew Joseph dan Boon.

 

"Penyertaan kami adalah untuk membawa jenama ini ke serantau dan mempercepatkan titik sentuhnya untuk semua saluran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Selain itu, Loo berkata, sudah wujud banyak sinergi untuk kedua-dua pasukan dalam penyelidikan dan pembangunan produk baharu, jualan dan pemasaran serta operasi. 

 

“Kemungkinan itu menarik kerana kategori kombucha berkembang pesat di rantau ini dengan kesedaran dan permintaan yang lebih besar untuk makanan dan bahan semula jadi. 

 

"Bersama-sama, kami boleh melonjakkan WonderBrew ke tahap yang lebih tinggi di rantau ini di mana kami akan memacu penggunaan kombucha secara besar-besaran merentasi pelbagai saluran,” katanya.

 

WonderBrew, jenama minuman gaya hidup buatan sendiri yang mengkhusus dalam kombucha (teh ditapai), dimiliki oleh Wonder Group Sdn Bhd. 

 

Jenama kombucha terkemuka di Malaysia, WonderBrew boleh didapati di lebih 700 lokasi. 

 

Perjanjian persendirian untuk jumlah yang tidak didedahkan ini telah diselesaikan dalam masa beberapa minggu selepas kemasukan dana ekuiti persendirian Creador ke dalam Loob dengan pembelian 30% kepentingan. -DagangNews.com