Lotte Chemical Titan umum pegangan Eagle US dalam LACC CC kekal 46.77%  | DagangNews Skip to main content

Lotte Chemical Titan umum pegangan Eagle US dalam LACC CC kekal 46.77% 

 

 

KUALA LUMPUR 20 Dis - Pegangan saham Eagle US2 LLC (Eagle US) dalam LACC LCC, yang merupakan usaha sama antara subsidiari Lotte Chemical Corp., Lotte Chemical USA Corp (LC USA) dengan Eagle US, kekal pada 46.77%.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Lotte Chemical Titan Holding Bhd. (LCT) berkata, proses timbang tara berhubung formula harga belian bagi pemindahan saham LC USA dalam LACC LLC kepada Eagle US telah selesai pada 23 November lalu.

 

"Tidak akan ada lagi perubahan kepada kepentingan ekuiti yang Eagle US berhak terima berikutan penutupan pemindahan.

 

"Oleh itu, pegangan saham Eagle US dalam LACC LCC disahkan kekal pada 46.77%, dengan LC USA memegang baki pegangan saham sebanyak 53.23%," katanya.

 

Sebelum ini, pada suku keempat 2019, LCT mengumumkan bahawa LC USA telah memeterai perjanjian pembelian sekuriti untuk memindahkan sekurang-kurangnya 34.79% kepentingan ekuiti dalam LACC LLC kepada Eagle US.

 

LACC adalah usaha sama antara LC USA dengan Eagle US bagi membangunkan Loji Perengkah Etana AS, yang mana LC USA mempunyai 88% kepentingan ekuiti dan Eagle US, sebuah entiti dalam Westlake Chemical Corp. memiliki baki kepentingan ekuiti.

 

Setelah pemindahan selesai, pegangan saham Eagle US dalam LACC meningkat kepada 46.77%, dengan LC USA memegang baki 53.23%. 

 

Berikutan pemindahan itu, LC USA akan mengiktiraf hasil sebanyak AS$18.4 juta dan keuntungan daripada pelupusan sebelum cukai sebanyak lebih kurang AS$60.5 juta.
 

"Transaksi ini akan dikenakan cukai kira-kira AS$17.1 juta, menghasilkan anggaran keuntungan bersih sebanyak AS$61.8 juta, dan 40% bahagian untuk kumpulan adalah AS$24.7 juta," katanya. - DagangNews.com