L&P Global terima kelulusan Bursa Malaysia untuk disenarai di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

L&P Global terima kelulusan Bursa Malaysia untuk disenarai di Pasaran ACE

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif L&P, Ooi Lay Pheng
Oleh JOHARDY IBRAHIM

SUNGAI BAKAP 25 Okt – L&P Global Berhad (L&P), dahulunya dikenali sebagai Berjayapak International Holdings Sdn Bhd, telah menerima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Dengan 38 tahun sejarah bertapak dalam industri, L&P dan anak syarikatnya merupakan penyedia penyelesaian pembungkusan industri bersepadu.

 

Kumpulan syarikat ini terlibat terutamanya dalam reka bentuk dan pembuatan produk pembungkusan industri kayu yang terdiri daripada kotak, peti dan palet.

 

L&P juga menyediakan perkhidmatan pembungkusan serta perdagangan produk dan bahan mentah berkaitan sebagai perkhidmatan nilai tambah kepada pelanggannya.

 

Dalam memenuhi peningkatan permintaan untuk pembungkusan yang lebih mampan, Kumpulan menawarkan perkhidmatan kitar semula dan pembaikan palet sebagai sebahagian daripada perkhidmatan bekalan pekelilingnya.

 

Pelanggan Kumpulan terdiri daripada pelanggan terkenal yang termasuk syarikat multinasional daripada pelbagai industri seperti tenaga boleh diperbaharui, elektronik dan semikonduktor, makanan, automotif dan pembungkusan. Dari segi geografi, selain daripada pasaran utamanya di Malaysia, Kumpulan juga telah menubuhkan operasi di Vietnam.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif L&P, Ooi Lay Pheng berkata, ketika dunia beralih ke fasa endemik selepas pandemik COVID-19, pertumbuhan dalam ekonomi, perdagangan antarabangsa dan sektor e-dagang bertambah baik untuk permintaan pembungkusan industri kayu bagi menyokong pertumbuhan dalam keperluan pergudangan dan logistik.

 

Tambahan pula kata beliau, perang perdagangan AS-China yang berterusan telah menyebabkan peningkatan dalam syarikat multinasional yang memindahkan kemudahan pembuatan mereka yang berpangkalan di China, ke negara seperti Malaysia dan Vietnam di mana L&P beroperasi.

 

“Proses penyenaraian kami yang akan datang pastinya tiba pada masa yang sesuai. Melalui hasil penyenaraian kelak, kami akan dapat mengukuhkan kehadiran pasaran dan keupayaan operasi kami serta mempunyai fleksibiliti kewangan yang lebih baik untuk memanfaatkan prospek yang menarik pada masa hadapan," ujarnya.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif L&P, Ooi Lay Pheng

Bersempena dengan penyenaraian L&P yang akan datang, pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) menyaksikan terbitan awam sebanyak 113.0 juta saham baharu, mewakili 20.2% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan semasa penyenaraian.

 

Sebanyak 33.8 juta saham sedia ada atau 6.0% daripada modal terbitan yang diperbesarkan semasa penyenaraian juga akan ditawarkan untuk jualan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Daripada 113.0 juta saham baharu, 24.0 juta atau 4.3% akan disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia, manakala 13.0 juta saham atau 2.3% akan disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Baki 76.0 juta saham atau 13.6% akan disediakan untuk permohonan kepada pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) melalui penempatan persendirian.

 

Kecuali keadaan yang tidak dijangka, L&P menyasarkan untuk disenaraikan menjelang suku pertama 2023.

 

Untuk pelaksanaan IPO L&P, Alliance Islamic Bank Berhad ialah Penasihat Utama, Penaja dan Penaja Jamin Tunggal. Alliance Islamic Bank Berhad dan Affin Hwang Investment Bank Berhad adalah Ejen Penempatan Bersama. - DagangNews.com