LPHP berjaya siapkan projek Rumah Perakku Seri Selinsing, penyediaan kediaman rakyat tepati inisiatif Perak Sejahtera 2030 | DagangNews Skip to main content

LPHP berjaya siapkan projek Rumah Perakku Seri Selinsing, penyediaan kediaman rakyat tepati inisiatif Perak Sejahtera 2030

Projek Rumah Perakku Seri Selinsing di Bagan Serai.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 12 Jan - Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) berjaya menyiapkan projek Rumah Perakku Seri Selinsing di Bagan Serai walaupun berdepan penangguhan disebabkan pandemik Covid-19.

 

Projek yang dimulakan pada tahun 2018 itu disiapkan tahun lalu dan bakal diduduki.

 

Projek ini dibangunkan melalui kaedah pemberian dana mudah cara daripada LPHP kepada pemaju, Nazarin Sdn. Bhd. 

 

Sebanyak 57 unit kediaman jenis teres setingkat dibina di atas tanah kerajaan seluas 6.05 ekar dengan kos berjumlah RM8.2 juta. 

 

Rumah
Sandrea (tengah) menyerahkan replika kunci Rumah Perakku Seri Selinsing kepada salah seorang pemilik kediaman.

 

Setiap unit rumah kos sederhana ini berkeluasan kira-kira 80 meter persegi dengan mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air yang dijual pada harga minima RM95,000.

 

Projek Rumah Perakku Taman Seri Selinsing ini merupakan projek kelima yang dilaksanakan di bawah pengurusan LPHP. 

 

Ini adalah sebahagian daripada usaha di bawah inisiatif Perumahan Sejahtera yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030. 

 

Bagi tahun ini LPHP menjangkakan empat lagi projek Rumah Perakku bakal disiapkan.

 

Ia melibatkan 956 unit Rumah Perakku dan 286 unit Rumah Perwira dalam pembinaan kesemua projek ini.

 

Rumah

 

Kejayaan menyiapkan projek ini bukan sahaja mencerminkan komitmen LPHP terhadap pembangunan hartanah tetapi juga keperluan rakyat Perak.

 

Ini juga telah memperkukuhkan kedudukan LPHP sebagai pemimpin dalam sektor perumahan dan hartanah di negeri Perak. 

 

Terdahulu, majlis penyerahan kunci kediaman projek Rumah Perakku Taman Seri Selinsing ini telah disempurnakan oleh Exco Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak, Sandrea Ng.

 

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan. - DagangNews.com