Luno perkenal `Bitcoin Cash' kepada pelanggan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Luno perkenal `Bitcoin Cash' kepada pelanggan Malaysia

 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Luno kini menawarkan perdagangan Tunai Bitcoin atau Bitcoin Cash (BCH) di platformnya kepada pengguna Malaysia, setelah menjadi tukaran aset digital pertama yang mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

BCH adalah mata wang kripto kelima yang diluluskan di Malaysia selepas Bitcoin (BTC), Ethereum (ETH), Ripple (XRP) dan Litecoin (LTC).

 

Luno menjelaskan rakyat Malaysia kini boleh membeli, menjual dan belajar mengenai BCH di platformnya kerana ia telah menjadi sebahagian daripada senarai penawaran aset digital yang semakin berkembang yang termasuklah BTC, ETH, XRP dan LTC. 

 

Pengurus negara Luno Malaysia, Aaron Tang berkata BCH kini berada di kedudukan 15 teratas mata wang kripto paling banyak diperdagangkan di seluruh dunia.

 

"Kami hanya menyenaraikan aset digital yang selamat dan bereputasi yang mempunyai faedah utiliti yang diinginkan pelanggan kami. Dan, itulah sebabnya kami memperkenalkan BCH selepas mendapatkan kelulusan daripada SC.

 

"Kami berharap pengenalan BCH di platform kami akan memberi inspirasi kepada pengguna Malaysia untuk meneroka mata wang kripto secara mendalam dan mengetahui mengenai faedah yang ditawarkan, sama ada untuk perdagangan atau pelaburan," katanya.

 

BCH dilancarkan pada bulan Ogos 2017. - DagangNews.com

 

BACA JUGA : Luno Malaysia manages over RM1 bilion digital AUM