Lupus MSM Perlis kepada FGV, kedua pihak untung - Firma | DagangNews Skip to main content

Lupus MSM Perlis kepada FGV, kedua pihak untung - Firma

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Mei - Cadangan pengambilalihan MSM Perlis Sdn. Bhd. beserta 11 bidang tanah berkeluasan 4,499 hektar dilihat menguntungkan kedua-dua pihak sama ada MSM Malaysia Holdings Bhd. mahupun syarikat induknya, FGV Holdings Bhd.  

 

Jumaat lalu, MSM dan FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF), anak syarikat FGV memeterai lembaran terma pelupusan dan pemerolehan 100% kepentingan MSM Perlis, anak syarikat milik penuh MSM.

 

Penganalisis Kenanga Research, Adrian Kok berkata, dengan pertimbangan akhir sebanyak RM201.6 juta, ia dilihat adil dengan mengambil kira tanah tersebut sebahagiannya sudah dibangunkan. 

 

Tambahan pula, katanya, tawaran FGV adalah 31% lebih tinggi berbanding F&N sebanyak RM156 juta bagi Ladang Chuping yang sama (4,454 hektar) mungkin disebabkan terdapatkan kilang penapisan gula.

 

Ini secara tidak langsung mewujudkan situasi menang-menang antara MSM dan FGV, jelas beliau.

 

"Pelupusan ini membolehkan MSM membuka nilai terhadap aset bukan terasnya dengan meraih keuntungan sebanyak RM91.6 juta.

 

"Dalam masa sama, ia juga membolehkan FGV meneroka potensi Kawasan Perindustrian Lembah Chuping yang tertumpu kepada perindustrian hijau dan halal serta memanfaatkan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang bertujuan memudahkan dagangan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma penyelidikan itu menyatakan tiada perubahan kepada anggaran pendapatan dengan menanti butiran selanjutnya berkenaan langkah itu dengan mengekalkan harga sasaran FGV pada RM1.30.

 

Keseluruhan pengambilalihan tanah itu melibatkan petimbangan akhir berjumlah RM206.1 juta yang mana RM175 juta adalah pertimbangan tunai manakala RM23.2 juta melibatkan modal kerja bersih dan hutang bersih RM7.8 juta.

 

Bagaimanapun, ia bergantung kepada tarikh yang akan dimuktamadkan, dijangka suku ketiga ini. 

 

Adrian berkata, dianggarkan kawasan yang sudah dibangunkan itu terdiri daripada 44.5 hektar tanaman getah, 106 hektar tanaman sawit dan 911 hektar tanaman mangga.

 

MSM Perlis memegang 11 bidang tanah pertanian dan perindustrian yang telah diperuntukkan untuk pembangunan FGV Chuping Agro Valley (FCAV) di Perlis oleh FGVIF, sektor baharu di bawah kumpulan, yang terdiri daripada aktiviti perladangan tanaman tunai bersepadu bernilai tinggi dan perniagaan penternakan tenusu yang kian mengembang.

 

Sejak pemberhentian penanaman tebu pada 2011, MSM Perlis terus mengurus tanah pertanian tersebut dengan tanaman getah, kelapa sawit dan mangga. 

 

Bagaimanapun, oleh kerana prestasi yang tidak mapan berkaitan kos operasi yang tinggi untuk mengekalkan aktiviti perladangan, MSM Perlis telah menghentikan sektor perladangannya pada 30 Jun 2019.

 

Sementara itu, operasi penapisan gula telah dihentikan setahun kemudian berikutan rasionalisasi kapasiti MSM untuk menyatukan pengeluaran di kilang baru, MSM Johor. 

 

Malah, lokasi MSM Perlis dari pelabuhan yang tidak menguntungkan, keupayaannya yang kecil dan kos fasiliti yang tinggi telah menyebabkan operasinya menjadi tidak ekonomik. - DagangNews.com