MAA jangka jualan kenderaan pada Disember lebih baik | DagangNews Skip to main content

MAA jangka jualan kenderaan pada Disember lebih baik

 

 

 

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Sektor automotif terus merekodkan momentum dengan jualan kenderaan pada November meningkat untuk bulan keenam berturut-turut tahun ini. 

 

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), pada bulan itu, jualan meningkat 7.4% kepada 56,489 unit berbanding 52,584 unit bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, katanya, jualan keseluruhan industri (TIV) pada November adalah lebih rendah, 0.3% berbanding Oktober dengan 56,670 unit. 

 

"Prestasi lebih baik pada November dipacu oleh insentif pengecualian cukai ke atas kenderaan penumpang dan juga pelancaran model-model baharu. 

 

"Sehubungan itu, kami menjangkakan TIV pada Disember adalah lebih tinggi berbanding November," katanya dalam kenyataan. 

 

Namun, sehingga November, TIV masih jauh jika dibandingkan dengan tahun lalu dengan jumlah jualan sebanyak 454,708 unit berbanding 549,439 unit yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Di bawah Penjana yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jun lalu, kereta pemasangan tempatan dikecualikan cukai jualan manakala kereta import pula, cukai jualan dikurangkan antra 5 hingga 10%, sehingga 31 Disember 2020. 

 

Sebelum ini, MIDF Research berkata, pertumbuhan kukuh dalam jualan kenderaan sebahagian besar dipacu oleh kenderaan nasional. 

 

"Ia dipacu oleh insentif pengecualian cukai, bantuan tunai kepada rakyat di bawah pakej rangsangan fiskal dan persekitaran kadar faedah yang rendah serta prospek makro yang bertambah baik secara beransur-ansur," katanya. 

 

Pada April lalu, MAA menyemak semula unjuran jualan kenderaan kepada 400,000 unit berbanding 607,000 unit yang disasarkan pada Januari. - DagangNews.com