MAA jangka jualan kereta susut 7.5% tahun ini selepas cecah 799,731 unit pada 2023 | DagangNews Skip to main content

MAA jangka jualan kereta susut 7.5% tahun ini selepas cecah 799,731 unit pada 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - Jualan kereta baharu di Malaysia dijangka menyusut 7.5% pada 2024, selepas mencatat jualan 799,731 unit pada 2023.

 

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyatakan bahawa jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) pada 2023 mencapai rekod tertinggi sepanjang masa dengan melonjak 11% tahun ke tahun daripada 721,177 unit dalam 2022.

 

Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, pertumbuhan jualan tahun lepas menandakan kenaikan tahunan kedua sejak kemerosotan pada 2020-2021 akibat pandemik COVID-19.

 

Jelasnya, jualan kereta pada 2023 didorong terutamanya oleh sub-segmen kereta penumpang berikutan daya tahan ekonomi domestik dan kestabilan persekitaran sosio-politik.

 

Mohd Shamsor menambah bahawa ia turut disokong oleh insentif bebas cukai pelancaran model baharu termasuk kenderaan elektrik mampu milik dan situasi rantaian bekalan industri yang bertambah baik.

 

 

Mohd Shamsor Mohd Zain
Mohd Shamsor Mohd Zain

 

 

Selain ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik dan ketegangan geopolitik, MAA menjangkakan TIV lebih lemah pada 740,000 unit tahun ini berikutan prospek sederhana berdasarkan unjuran pertumbuhan ekonomi global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) perlahan kepada 2.9% dalam 2024 berbanding 3% pada 2023.

 

“Perbelanjaan pengguna mungkin menjadi perlahan berikutan kebimbangan terhadap rasionalisasi subsidi bersasar, peningkatan kos sara hidup, pelaksanaan cukai barang bernilai tinggi dan kadar cukai perkhidmatan yang lebih tinggi untuk beberapa perkhidmatan, termasuk pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan bermotor," katanya.

 

Faktor yang akan menyokong jualan pada 2024 adalah peningkatan rantaian bekalan dan pelancaran model baharu yang berterusan, termasuk lebih banyak kenderaan elektrik baharu (xEV) pada harga berpatutan dan kompetitif, yang akan menarik dan mengekalkan minat pembelian dalam kalangan pengguna.

 

Di samping itu, Mohd Shamsor berkata keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan penanda aras kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% juga menggalakkan, memastikan kos pinjaman stabil, yang memberi petanda baik untuk industri.

 

Mengenai jumlah pengeluaran industri kenderaan baharu pada 2023, Shamsul berkata ia turut menyaksikan peningkatan sebanyak 10% atau 72,325 unit kepada 774,600 unit berbanding 702,275 unit pada 2022, menandakan tahun kedua berturut-turut ia melebihi 700,000 unit. - DagangNews.com