Maal Hijrah: PM ajak rakyat amalkan konsep "Tasamuh' jaga keharmonian dan perpaduan | DagangNews Skip to main content

Maal Hijrah: PM ajak rakyat amalkan konsep "Tasamuh' jaga keharmonian dan perpaduan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Julai - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak rakyat mengamalkan konsep 'Tasamuh' atau toleransi dalam menjaga keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

 

Perdana Menteri berkata, sikap yang dituntut dalam Islam itu bukan hanya membolehkan rakyat terus membangun sehingga dihormati, tetapi juga dapat mengelak daripada perbalahan yang sia-sia dan merugikan.

 

Beliau berkata, semangat Tasamuh ini dianjurkan Rasulullah SAW, ketika membangunkan kota suci Madinah yang mana golongan Ansar dan Muhajirin menzahirkan sifat toleransi yang melahirkan masyarakat berkasih sayang, merentasi kaum dan warna kulit.

 

"Semangat Tasamuh juga diterjemahkan Ahli Dewan Rakyat ketika sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan berkenaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti semalam (kelmarin), apabila sanggup mengetepikan perbezaan fahaman politik demi Keluarga Malaysia," katanya dalam perutusan khas sempena Sambutan Maal Hijrah 1444, malam ini.

 

Ismail Sabri berkata, Maal Hijrah bukan sekadar menghayati penghijrahan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dari kota suci Makkah ke kota Madinah bagi menyebarkan syiar Islam, tetapi mempunyai pengertian lebih besar.

 

Beliau berkata, cabaran dihadapi kini menuntut kecekalan dan ketahanan jiwa setiap rakyat, seperti semangat pengorbanan kaum Muhajirin, yang sanggup meninggalkan harta dan kediamannya.

 

"Hijrah dalam konteks hari ini ialah berusaha mengubah diri menjadi individu lebih baik dan bermanfaat kepada orang lain.

 

"Dalam ruang lingkup tugas tersendiri, kita bertanggungjawab memastikan hubungan sesama anggota masyarakat berjalan atas prinsip keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran seperti ditekankan dalam konsep Keluarga Malaysia," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, nilai ini penting untuk rakyat berdepan cabaran tidak pernah berlaku dalam sejarah, sehingga menyebabkan negara terpaksa bergelut untuk menanganinya.

 

"Alhamdulillah atas usaha dan kebersamaan, impak daripada krisis dihadapi seluruh dunia pada hari ini dapat kita lalui biarpun kesannya tetap dirasai.

 

"Peristiwa Hijrah juga mengajar kita bersedia berdepan sebarang cabaran atau kemungkinan. Dengan keadaan itu, kita dapat bersiap siaga sekiranya sebarang peristiwa buruk berlaku," katanya. - DagangNews.com