Mac 2021: PMI pembuatan Malaysia naik kepada 49.9  | DagangNews Skip to main content

Mac 2021: PMI pembuatan Malaysia naik kepada 49.9 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 April - Petunjuk tunggal bagi prestasi sektor pembuatan, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Malaysia naik kepada 49.9 pada Mac 2021 daripada 47.7 bagi bulan Februari. 

 

IHS Markit menerusi sebuah kenyataan hari ini memberitahu, bacaan terbaharu itu menunjukkan keadaan operasi sektor pembuatan Malaysia stabil dengan indeks keseluruhan mencecah kadar tertinggi sejak Julai 2020.

 

Ketua Ahli Ekonomi Perniagaan di IHS Markit, Chris Williamson berkata, sektor pembuatan Malaysia menapak satu lagi anak tangga ke arah pemulihan pada bulan ini dengan kadar tempahan buku dan penyusutan eksport yang mereda. 

 

Ujar beliau, walaupun pengeluaran buat masa ini masih lemah, namun firma-firma maju ke hadapan terutamanya berkaitan aspek pengambilan pekerjaan.

 

“Bulan Mac menyaksikan pekerjaan-pekerjaan ditawarkan pada kadar paling pantas bagi tempoh dua tahun memandangkan perniagaan berkembang dengan lebih optimis terhadap prospek (industri). 

 

“Bekalan input (sebaliknya) terus menyusut, menambah cabaran kepada pemain industri pembuatan,” katanya dalam kenyataan sama. 

 

Namun, perdagangan global yang kian meningkat dijangka dapat membantu mengurangkan isu kekurangan bekalan pada masa akan datang, sekali gus mengembangkan pengeluaran Malaysia dan mengatasi tekanan harga, kata Williamson lagi. 

 

PMI merangkumi angka antara 0 hingga 100, di mana bacaan melebihi 50 menunjukkan peningkatan keseluruhan berbanding bulan sebelumnya, sementara bacaan bawah 50 menunjukkan penurunan keseluruhan prestasi sektor pembuatan.

 

Dalam konteks Malaysia, bacaan keseluruhan PMI dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan hubung kait yang tinggi iaitu sehingga 60% dengan PMI bertindak sebagai indikator kebetulan (coincident) kepada pertumbuhan ekonomi.

 

Sementara itu, IHS Markit menekankan walaupun output dan tempahan baharu sektor itu meningkat pada Mac 2021, namun kedua-duanya masih lemah. 

 

Para panel mendapati aliran masuk tempahan terus menerima impak negatif akibat pandemik COVID-19, menjejaskan kedua-dua pemintaan penggunaan dan korporat, jelas firma itu.

 

Kos input pula meningkat untuk 10 bulan berturut-turut pada Mac, menunjukkan harga yang lebih tinggi bagi barangan mentah dan kos penerbangan.

 

“Kos input secara keseluruhannya meningkat pada kadar yang pantas dalam tempoh hampir empat tahun. Pengilang berusaha untuk meletakkan sebahagian kos yang lebih tinggi ini kepada pelanggan dalam bentuk caj output, yang meningkat pada kadar paling cepat sejak Mac 2017,” jelas IHS Markit.

 

Di sebalik cabaran dalam bekalan yang berkurangan dan isu berkaitan penularan COVID-19, pengilang Malaysia membayangkan keyakinan yang tinggi terhadap prospek output bagi tahun hadapan. 

 

Kata IHS Markit, firma-firma mencatatkan tahap sentimen positif tertinggi bagi tempoh enam bulan pada Mac.

 

Ahli panel melihat prospek yang lebih baik itu didorong oleh harapan pemulihan di kedua-dua permintaan domestik dan luar yang akan melonjakkan kadar pengeluaran serta jualan bagi tempoh 12 bulan akan datang. - DagangNews.com