MAFI, PLS Plantations meterai MoU perkukuh sekuriti makanan negara | DagangNews Skip to main content

MAFI, PLS Plantations meterai MoU perkukuh sekuriti makanan negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PLS Plantations Berhad (PLS Plantations) untuk menjalankan kajian ekstensif serta membentuk usul bagi program sekuriti makanan negara.

 

MoU tersebut telah dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang dilangsungkan secara dwitahunan, baru-baru ini, yang turut dihadiri Menteri MAFI, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Pengerusi Kumpulan PLS Plantations, Tan Sri Mohammed Nazir Abdul Razak. 

 

Turut hadir untuk menandatangani MoU tersebut ialah Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hami serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PLS Plantations, Lee Hun Kheng.

 

Dr. Ronald turut berkongsi mengenai kedudukan Malaysia yang terus meningkat dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) dan berada di tangga ke-39, menginjak naik dari tangga ke-43 pada tahun 2020.

 

Beliau berkata, Malaysia telah menunjukkan prestasi yang baik dengan skor keseluruhan berjumlah 70.1 berbanding 67.9 pada tahun yang sebelumnya. Peningkatan dalam skor Malaysia (berbanding tahun sebelum) merupakan peningkatan skor tertinggi dalam kalangan 113 negara lain yang terlibat. 

 

Bagaimanapun katanya, disebabkan beberapa isu, digandakan dengan populasi yang sedang meningkat dan kekurangan buruh, kegiatan import makanan dan pertanian Malaysia kekal tinggi pada paras RM55.5 bilion.

 

"Dengan itu, adalah mustahak bagi industri sektor awam dan swasta untuk bekerja secara rapat agar dapat memperkukuhkan lagi sekuriti makanan negara menerusi seluruh rantaian bekalan. 

 

 

MAFI
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika merasmikan MoU antara MAFI dengan PLS Plantations bagi menjalankan kajian ekstensif serta membentuk usul bagi program sekuriti makanan negara di MAHA 2022. Turut kelihatan Datuk Haslina Abdul Hamid (kiri), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (dua dari kiri), Tan Sri Mohammed Nazir Abdul Razak (dua dari kanan) dan Lee Hun Kheng.

 

 

"Pada masa yang sama, kita perlu menyusun atur peranan masing-masing untuk merebut peluang menjana pendapatan yang lebih tinggi dalam kalangan penggiat agrikultur, selain merapatkan jurang pendapatan dan memperbaiki kehidupan. 

 

"Untuk menjamin masa depan industri ini, kita juga perlu menarik penglibatan golongan belia dan kami melihat usaha sama sektor awam dan swasta sebagai strategi utama untuk melahirkan program-program baharu, termasuk teknologi dan platform yang dapat menarik petani dan peserta baharu ke industri agrikultur," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurutnya, menerusi pelbagai usaha, mereka yakin dapat memperbaiki kebingkasan sekuriti makanan negara, termasuk aksesibiliti dan kemampuan untuk memiliki makanan yang berkualiti, sejajar dengan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021 – 2025.

 

Mohammed Nazir pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk menyokong usaha MAFI dan juga industri ini dalam menaik taraf sekuriti makanan negara. 

 

"Kajian dan usul berkenaan akan berfungsi sebagai asas yang akan membimbing usaha dalam pelaksanaan program sekuriti makanan kita. 

 

"Di samping itu, inisiatif-inisiatif yang kami baru sahaja lancarkan, PLS Agropreneur Programme dan PLS Integrated Agrotech Park akan membantu mencorak sebuah ekosistem berdaya maju yang mana kita dapat menarik petani-petani berpengalaman untuk mengembangkan skala ladang dan keluaran mereka, selain menarik individu-individu terbaik ke industri ini," katanya. - DagangNews.com