MAFI teliti cadangan pembangunan pelabuhan pendaratan tuna khas | DagangNews Skip to main content

MAFI teliti cadangan pembangunan pelabuhan pendaratan tuna khas

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 April - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang meneliti cadangan pembangunan pelabuhan pendaratan tuna khas di Jeti Batu Maung, Pulau Pinang.

 

Menterianya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, cadangan itu selari dengan hasrat kementerian untuk meningkatkan kemasukan vesel tuna ke pelabuhan dan sekali gus melonjakkan hasil pendaratan tuna di Malaysia. 

 

"Adalah penting untuk kita mempunyai pelabuhan yang kompetitif dengan kemudahan dan pembangunan aktiviti hiliran yang boleh menarik minat vesel-vesel untuk mendaratkan tangkapan mereka. 

 

"Kerajaan mengalakkan kerjasama antara kerajaan dan swasta dalam memastikan industri tuna di Malaysia agar dapat dibangunkan dengan jayanya.

 

"Kerjasama ini juga amat penting dalam memastikan industri tuna di Malaysia dapat dimanfaatkan oleh semua pihak," katanya dalam satu kenyataan.

 

.

 

Jelas beliau lagi, manfaat yang bakal diperoleh tidak hanya terhad kepada aktiviti penangkapan ikan sahaja, tetapi pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai industri tuna boleh dibangunkan seperti pelabuhan, pengangkutan, penyimpanan, pemprosesan dan lain-lain.

 

Semalam, beliau turut melancarkan Ibu Wira 1 iaitu sebuah kapal Penangkapan Tuna Zon C3, di Jeti Batu Maung.

 

Sehingga kini, terdapat 19 kapal penangkapan tuna Malaysia di Lautan Hindi , dengan hasil tangkapan sebanyak 3,005.13 tan metrik dengan nilai anggaran RM 40 Juta.

 

Daripada jumlah tersebut, pendaratan tuna di Pelabuhan Pulau Pinang telah mencatatkan jumlah pendaratan sebanyak 1,943.84 tan metrik dengan nilai anggaran RM 28 juta.

 

Tambah beliau, industri perikanan tuna di Malaysia sedang berkembang dan membangun sebagai salah satu sumber kekayaan baharu negara. 

 

Menurutnya, kedudukan Malaysia yang terletak di dalam perairan Lautan Hindi merupakan satu kelebihan negara untuk mengeksploitasi sumber tuna oseanik.

 

"Secara keseluruhan, pendaratan tuna di Malaysia merangkumi tangkapan ikan tuna seperti ikan tuna neritik, tuna oseanik dan tuna like species. Pada tahun 2020, sebanyak 97,613.64 tan metrik (data awalan) tuna didaratkan dengan nilai anggaran RM904 juta.

 

"Pemain industri tuna wajar mengambil peluang untuk menghantar lebih banyak vesel perikanan tuna untuk menangkap di Lautan Hindi serta menggalakkan lebih banyak vesel tuna mendarat di Malaysia. 

 

"Ini selaras dengan sasaran Kerajaan supaya 70 buah vesel penangkapan ikan tuna berbendera Malaysia beroperasi di Lautan Hindi menjelang tahun 2030," ujar beliau lagi. - DagangNews.com