MAG Holdings batal cadangan pelaburan di ladang ternakan udang Indonesia bernilai RM22 juta | DagangNews Skip to main content

MAG Holdings batal cadangan pelaburan di ladang ternakan udang Indonesia bernilai RM22 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - MAG Holdings Berhad batalkan cadangan pengambilalihan 50% kepentingan dalam ladang ternakan udang melalui pelaburan S$6.1 juta (RM22 juta).

 

Kumpulan itu sebelum ini telah memeterai perjanjian bersama LIM Shrimp Organization Ltd (LSOL) bagi cadangan pelaburan dalam Lim Shrimp Aquapolis Pte Ltd (LSA).

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, MAG memaklumkan bahawa mereka memutuskan untuk menamatkan perjanjian itu kerana berlaku 'pelanggaran syarat yang dipersetujui' oleh LSOL.

 

Penamatan itu dibuat selepas kedua-dua pihak sebelum ini memutuskan untuk melanjutkan tarikh tamat tempoh untuk memeterai langganan dan perjanjian pemegang saham selama tiga bulan hingga 26 Disember.

 

Lanjutan itu dikemukakan pada Oktober kerana kedua-dua pihak memerlukan lebih banyak masa untuk kajian kebolehlaksanaan dan latihan, serta proses pentadbiran yang melibatkan kerajaan wilayah Nusa Tenggara Barat.

 

Sekiranya usaha sama itu diteruskan, LSOL akan memberikan jaminan bahawa pada penghujung tempoh empat tahun dari permulaan operasi pemprosesan udang dan loji penyimpanan sejuk, LSA harus memberikan purata keuntungan bersih sekurang-kurangnya S$2.03 juta (RM7 juta) setahun. - DagangNews.com