MaGIC-ScaleUp bakal latih 20 syarikat permulaan berpotensi | DagangNews Skip to main content

MaGIC-ScaleUp bakal latih 20 syarikat permulaan berpotensi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) akan bekerjasama dengan ScaleUp Malaysia untuk meningkatkan jumlah, kecepatan pertumbuhan dan nilai industri syarikat permulaan tempatan.

 

Menerusi kerjasama awam dan swasta itu, kedua-dua pemain industri berkenaan akan melatih 20 syarikat permulaan yang berpotensi dengan sasaran untuk meraih komitmen pelaburan sebanyak RM250,000 bagi setiap 10 syarikat yang terpilih melalui pelaburan oleh pelabur institusi.

 

MaGIC dan ScaleUp dalam sebuah kenyataan bersama memberitahu, syarikat permulaan yang terlibat akan menerima dana daripada institusi kewangan untuk menyediakan garis kredit bersesuaian selain meraih sokongan daripada rakan korporat strategik.

 

Kedua-dua organisasi itu akan bekerja rapat dengan syarikat-syarikat permulaan dalam menggandakan pendapatan mereka bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar berkata, kerjasama antara rakan-rakan ekosistem itu bertujuan menyediakan akses yang lebih tersedia kepada pelabur dan pembiayaan bagi syarikat permulaan yang mahu berkembang dalam Malaysia dan rantau ini.

 

Dzuleira Abu Bakar
Dzuleira Abu Bakar

 

“Menerusinya, kami melatih syarikat permulaan dari peringkat awal kepada Program Pemecut Global (GAP), iaitu peringkat pertengahan hingga akhir dan seterusnya kepada ScaleUp Malaysia, peringkat pertumbuhan dengan dana komited untuk pelaburan.

 

“Kami berharap dapat membawa alumni syarikat permulaan MaGIC ke ScaleUp Malaysia dan juga, agar alumni ScaleUp Malaysia mendapat menerima manfaat daripada program MaGIC. 

 

“Dengan menambah nilai ke dalam kitaran pengembangan pertumbuhan syarikat permulaan, kami dapat memberi impak kepada syarikat permulaan dengan berkesan, seterusnya, menyumbang kembali kepada ekosistem,” katanya menerusi kenyataan sama.

 

Kolaborasi itu menandakan kerjasama yang pertama dari tahun ini oleh MaGIC dalam merealisasikan Rangka Tindakan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) untuk melatih 5,000 syarikat permulaan dan menarik dua unikorn (syarikat baharu yang mempunyai kadar pertumbuhan tinggi) dalam tempoh lima tahun akan datang. 

 

Ini berfungsi untuk memajukan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar pasaran serantau untuk produk dan penyedia penyelesaian digital dengan syarikat permulaan bertindak sebagai pemangkin.

 

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Rakan Kongsi Umum ScaleUp Malaysia, Aaron Sarma berkata, lebih banyak syarikat permulaan kini dapat memperoleh sokongan teknikal dan taktik terbaik di negara ini.

 

Aaron Sarma
Aaron Sarma

 

“Bersama-sama, MaGIC dan ScaleUp Malaysia dapat menyokong syarikat permulaan yang akan berada di hadapan transformasi digital, di mana sedang berlaku di seluruh dunia ketika pandemik ini, di samping mendorong mereka untuk mengembangkan pertumbuhan,” katanya. - DagangNews.com