Mah Sing beli tanah RM89 juta bangunkan M Astra | DagangNews Skip to main content

Mah Sing beli tanah RM89 juta bangunkan M Astra

 

 

KUALA LUMPUR 4 Mei - Mah Sing Group Berhad membeli sebidang tanah berkeluasan 2.02 hektar di Mukim Setapak, Kuala Lumpur pada harga RM89 juta. 

 

Ini merupakan pembelian tanah kali kedua bagi Mah Sing untuk tahun ini yang akan dinamakan sebagai projek M Astra, terletak kira-kira 3 kilometer daripada projek utamanya, M Adora di Wangsa Melawati.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, M Astra juga melibatkan pembelian tanah bersaiz kecil yang pertama selepas M Oscar, M Luna dan M Adora pada 2019.

 

Katanya, kesemua projek ini kemudiannya dilancarkan dalam tempoh 7 hingga 12 bulan dan pihaknya menyasarkan pendaftaran bagi projek M Astra pada suku ketiga 2021. 

 

"Pembelian tanah bagi projek M Astra ini adalah tepat pada masanya memandangkan sektor hartanah semakin menunjukkan pemulihan. 

 

"Jadi, kami bersedia merebut peluang ini bagi memenuhi keperluan pembeli dengan menyediakan rumah pada harga mampu milik," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Berdasarkan perancangan awal dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, M Astra dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar hampir RM618 juta.

 

M Astra adalah pembangunan bercampur terdiri daripada 2 blok suite perkhidmatan dengan menawarkan unit-unit yang mempunyai 3 dan 4 bilik tidur pada keluasan daripada 850 hingga 1,030 kaki persegi serta dilengkapi kemudahan lot kedai.

 

Harga bagi setiap unit ditawarkan pada harga mampu milik bermula RM399,000. 

 

Lebih menarik lagi, projek ini terletak di kawasan yang sudah membangun seperti Danau Kota, Desa Setapak, Setapak Jaya, Wangsa Maju, Titiwangsa dan Setiawangsa yang dilengkapi dengan kemudahan pengangkutan awam.

 

Secara dasarnya, pembelian tanah bagi projek M Astra ini meningkatkan bank tanah utama Mah Sing kepada 842.15 hektar, dengan jumlah baki GDV dan jualan yang belum dibeli sekitar RM25.26 bilion. 

 

Bagi sasaran jualan Mah Sing tahun ini, 91% daripada hartanahnya bernilai di bawah RM700,000 dan 51% pula berharga di bawah RM500,000. - DagangNews.com