KUALA LUMPUR 5 Ogos - Mah Sing Group Berhad dijangka meraih RM60 juta pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) bagi tahun kewangan 2026 (FY26) daripada perusahaan pusat data yang diceburinya menerusi Kerjasama dengan Bridge Data Centres Malaysia.
Rakuten Trade berkata, gangguan infrastruktur teknologi maklumat (IT) global baru-baru ini memberi kesan kepada sistem utama seperti Azure dan CrowdStrike yang telah menekankan keperluan mendesak untuk strategi pusat data menyeluruh.
"Situasi malang ini memberikan peluang yang tepat untuk hab pusat data baharu yang dilancarkan oleh Mah Sing. Dalam kerjasama ini, Mah Sing akan menyumbang tanah sebagai pertukaran untuk pegangan sekitar 20% dalam usaha sama (JV).
"Pembangunan ini menempatkan Mah Sing di barisan hadapan dalam permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan pusat data, yang didorong oleh peningkatan digitalisasi dan keperluan infrastruktur IT," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Rakuten Trade, Mah Sing telah membuat kemajuan signifikan dengan memasuki industri pusat data (DC) yang menekankan komitmen terhadap inovasi dan pertumbuhan.
"Kerjasama dengan BDC untuk membangunkan kemudahan pusat data 100MW di atas tanah seluas 17.55 ekar di Southville City, Bangi, Selangor. Usaha ini menandakan kemasukan syarikat ke dalam segmen pusat data, dengan rancangan untuk akhirnya mengembangkan kapasiti kepada 500MW di kawasan seluas 150 ekar.
"Pengurusan telah menyatakan bahawa syarikat kini sedang berbincang dengan pemain pusat data serantau," jelasnya.
Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran (TP) RM2.23 sesaham memandangkan Mah Sing terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemaju hartanah utama di Malaysia dengan portfolio yang pelbagai.
ARTIKEL BERKAITAN: Mah Sing beli tanah RM108 juta di Taman Desa dengan GDV RM1.01 bilion
"Mah Sing yakin dapat mencapai sasaran jualannya sebanyak RM2.5 bilion, dengan RM992 juta telah dicapai menjelang Mei 2024.
"Kami menjangkakan Mah Sing akan mencatatkan keuntungan bersih FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak RM244.3 juta dan RM275.4 juta, disokong jualan belum dibil yang kukuh sebanyak RM2.32 bilion (setakat 1QFY24) dan pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada penyelesaian beberapa projek semasa.
"Kunci kira-kira syarikat kekal terkawal dengan nisbah gear bersih sebanyak 0.1x untuk tempoh yang sama," ujarnya.
Mengenai pembelian tanah di Taman Desa baru-baru ini, Rakuten Trade berkata, pembangunan projek M Aspira di tanah itu akan menawarkan rumah moden dan direka dengan baik yang ditujukan kepada warga bandar, pembeli rumah pertama, dan pembeli asing, dengan mengintegrasikan konsep gaya hidup ikonik Mah Sing.
"Projek ini dijangka diterima baik disebabkan lokasinya yang strategik, kurang daripada 10 km dari pusat bandar raya Kuala Lumpur," katanya. - DagangNews.com