Mah Sing lancar projek pembangunan Erica Fasa 2 di Pasir Gudang | DagangNews Skip to main content

Mah Sing lancar projek pembangunan Erica Fasa 2 di Pasir Gudang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Feb - Mah Sing Group Berhad meneruskan komitmen mereka bagi meneruskan pembangunan di wilayah selatan dengan melancarkan projek Erica @ Meridin East Fasa 2 di Pasir Gudang selepas Erica Fasa 1 habis terjual.

 

Erica merupakan projek pembangunan rumah teres berkembar dan ia merupakan sebahagian daripada projek pembangunan Mah Sing yang terletak di Iskandar Malaysia iaitu Meridin East di atas kawasan berkeluasa 1,313 ekar.

 

Meridin East merupakan sebuah bandar mampan yang dipenuhi dengan projek pembangunan bercampur terdiri daripada hartanah, komersial dan pembagunan industri ringan.

 

Pada tahun lalu, Meridin East Fasa 1 yang memiliki 155 unit rumah berjaya dijual sepenuhnya dan penyerahan kunci pemilikan dijangka sempurna pada penghujung 2023. 

 

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad berkata, kerajaan negeri sentiasa menggalakan pemaju hartanah untuk meneruskan pembangunan serta meningkatkan taraf hidup komuniti di Johor.

 

"Adalah satu keperluan untuk menyediakan perumahan mampu milik di negeri ini bagi membolehkan rakyat Johor memiliki rumah tanpa dibebani dengan masalah kewangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

erica

 

Erica Fasa 2 merangkumi 210 unit rumah dengan saiz 1,601 kaki persegi yang dilengkapi dengan empat bilik tidur dan tiga bilik air bermula pada harga RM425,000. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Anak Syarikat Hartanah Mah Sing, Benjamin Ong berkata, pihaknya sentiasa menyediakan rangkaian pembangunan perumahan mampu milik untuk semua. 

 

erica

 

"Kami menyasarkan untuk menyediakan rumah bertanah di Johor dengan harga di bawah RM500,000 dan kami percaya perumahan seperti ini menjadi pilihan atas faktor ruang, nilai selepas jualan lebih tinggi dan kebebasan untuk mengubah suai selain tiada yuran penyelenggaran perlu ditanggung.

 

"Sambutan luar biasa terhadap Erica Fasa 1 menunjukkan rumah bertanah masih menjadi pilihan kerana kualiti tinggi selain kedudukannya yang strategik," katanya. - DagangNews.com