Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Dis. – Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) telah menerima kelulusan 99.9962% daripada pemegang ekuiti kumpulan syarikat untuk memperluas perniagaan ke dalam pembuatan dan penjualan sarung tangan serta produk penjagaan kesihatan berkaitan.
Cabang perniagaan baharu yang akan dilaksanakan oleh Mah Sing Healthcare Sdn. Bhd (Mah Sing Healthcare) itu telah diputuskan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) secara maya hari ini.
Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, sokongan yang diberikan oleh pemegang ekuiti menunjukkan pengesahan yang kuat kepada kumpulan syarikat terutamanya dalam perjalanan baharu ke arah perniagaan pembuatan sarung tangan.
“Kepelbagaian cabang perniagaan yang dicadangkan terutamanya menyasarkan pasaran global diharapkan dapat meningkatkan bahagian pembuatan kami yang sedia ada dan kami sedang mencari kemungkinan untuk menyenaraikan bahagian pembuatan kami dalam lima tahun akan datang di Hong Kong untuk terus membuka nilainya pada masa depan.
“Ini juga akan menjadi pelengkap yang baik untuk perniagaan pembangunan hartanah teras kami yang sedia ada di mana tertumpu pada pasaran domestik,” katanya dalam satu kenyataan berhubung keputusan EGM itu hari ini.
Sebanyak enam barisan pengeluaran kilang pembuatan sarung tangan pertama Mah Sing di Kapar, Klang dalam landasan tepat untuk beroperasi pada suku kedua 2021 (2Q21), diikuti oleh enam lagi barisan pada 3Q21 untuk mencapai jumlah kapasiti sehingga 3.68 juta unit sarung tangan setiap tahun.
Bagaimanapun, kumpulan syarikat itu akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan hartanah sedia ada sebagai kunci utama untuk Mah Sing bergerak ke hadapan.
Jelas Hoy Kum, cabang hartanah Mah Sing kekal bertahan berdasarkan kadar pengambilan yang positif daripada projek baru dilancarkan kumpulan syarikat itu.
Ini dalam masa sama menunjukkan pembeli masih lagi mencari-cari rumah yang ideal, katanya.
“Kami sentiasa percaya bahawa permintaan akan bertahan bagi produk, lokasi dan harga yang tepat. Kecepatan kumpulan syarikat dalam merancang dan memasarkan pembangunan baharu sejajar dengan model perolehan cepat dan meningkatkan strategi pertumbuhan kami,” tambah Hoy Kum.
Setakat 30 September 2020, Mah Sing berjaya mencapai jualan hartanah sekitar RM847.1 juta dan dalam landasan tepat untuk mencapai unjuran RM1.1 bilion pada penghujung tahun ini.
Projek rumah kediaman yang baru dilancarkan Mah Sing menyaksikan maklum balas memberangsangkan dengan Fasa 2A Carya @ M Aruna mencatatkan 90% kadar pengambilan ketika pelancarannya pada hujung minggu lalu.
Dalam pada itu, menurut nota kajian RHB Investment Bank yang memetik laporan media menyatakan kerajaan mungkin meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dijangka menjadi kesan limpahan positif kepada kawasan hartanah tempatan.
“Keyakinan terhadap pasaran hartanah semakin pulih dan melihat kenaikan sejajar dengan prospek ekonomi yang lebih baik pada tahun 2021, didorong oleh pelbagai langkah hartanah oleh kerajaan,” tambah Hoy Kum. – DagangNews.com