Mahasiswa perlukan bantuan, situasi pasca COVID-19 begitu mencabar – MPN | DagangNews Skip to main content

Mahasiswa perlukan bantuan, situasi pasca COVID-19 begitu mencabar – MPN

Tan Sri Muhyiddin Yassin gesa semua pihak bantu belia terutama siswa dalam menangani kesukaran pasca COVID-19 yang begitu mencabar. Data internet percuma membantu mereka melancarkan proses pembelajaran harian.
Oleh Liza Abdullah Yusuf

Empat belas mahasiswa dilaporkan cuba menjual tablet yang diperoleh menerusi program bantuan PerantiSiswa. Namun usaha itu dapat disekat dengan adanya kod keselamatan yang boleh memantau kedudukan peranti berkenaan bagi mengelak disalahguna.

 

Angka itu terlalu kecil berbanding jumlah 350,000 penerima dan pastinya keadaan sedemikian dapat ditangani secara berhemah.

 

Apa yang perlu dibincangkan di sini, kerajaan sudah menyediakan peranti, kini adalah lebih wajar sekiranya syarikat telekomunikasi pula membantu menawarkan pakej khas data percuma kepada pelajar yang memerlukan.

 

Sekitar tahun 2020 hingga 2021 ada syarikat telekomunikasi menawarkan pakej data pada harga subsidi kepada pelajar.

 

Pemberian tablet menerusi Program PerantiSiswa memerlukan nilai ditambah dengan mengambil kira pemberian data bagi melancarkan proses pembelajaran secara berkesan.

 

Tidak dinafikan kesan COVID-19 yang melanda dunia meninggalkan pelbagai kesukaran, ramai ketua isi rumah terjejas punca pendapatan pendapatan.

 

Kesannya turut dialami mahasiswa, wang makan harian terpaksa dicatu untuk membeli data bagi melancarkan kerja menyelidik dan pembelajaran menerusi aplikasi internet.

 

Tidak dinafikan ada suara sumbang mengatakan pelajar boleh bekerja sambilan bagi menampung kehidupan sepanjang tempoh pengajian.

 

 

 Dr Syed Agil Alsagoff
                 Dr Syed Agil Alsagoff

 


Mengulas situasi itu, Pensyarah Kanan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia Dr Syed Agil Alsagoff berkata, tidak semua orang di luar sana faham dan mempunyai pengetahuan bahawa setiap jurusan pengajian di universiti itu berbeza.

 

Beliau berkata, sebagai contoh pelajar yang mengikuti program pengajian  sains tulen, masa mereka sangat terhad. Pelajar berhadapan pelbagai tugasan termasuk uji kaji di makmal dan menyiapkan laporan penyelidikan.

 

Katanya, kesuntukan masa menyebabkan mereka tidak berpeluang melakukan kerja sambilan berbanding rakan lain yang mengambil jurusan pengajian pengurusan perniagaan, pentadbiran atau sains politik.

 

“Sejak kebelakangan ini, ramai pelajar berhadapan masalah kewangan yang serius. Dana tabung kebajikan pelajar di setiap universiti pula terhad.

 

“Jika golongan ini tidak dibantu dikhuatiri mereka berhadapan pelbagai kesulitan hingga terpaksa berhenti belajar. Keadaan ini merugikan negara dalam menyediakan tenaga pakar pada masa akan datang,” katanya.


 

Tan Sri Muhyiddin Yassin
                       Tan Sri Muhyiddin Yassin

 


Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya sebelum ini, menyatakan rakyat kini berada dalam keadaan susah, ramai yang menjadi miskin pada pasca Covid-19.

 

Muhyiddin berkata, kehidupan rakyat tidak seperti dahulu, namun pada masa sama anak-anak mereka di institusi pengajian tinggi perlu meneruskan pelajaran.

 

“Kepayahan hidup pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan atau B40 yang kini menjadi B60 perlukan bantuan. Anak-anak ini adalah generasi pemimpin akan datang.  Semua pihak perlu peka akan keperluan semasa dengan membantu negara membangunkan generasi muda,” katanya.

 

Statistik Kementerian Pengajian Tinggi sehingga 30 November 2021 mencatatkan lebih 537,434 pelajar sedang mengikuti pelbagai program pengajian di menara gading seluruh negara.

 

Kementerian Komunikasi dan Multimedia K-KOMM pula menerima sejumlah 470,000 permohonan daripada pelajar universiti, kolej komuniti dan politeknik untuk mendapatkan kemudahan tablet menerusi program bantuan PerantiSiswa.


 

parafrasa
Tan Sri Annuar Musa bersama para pelajar yang menerima bantuan PerantiSiswa.

 

 

Namun sehingga September lalu, hanya 350,000 diluluskan berdasarkan kelayakan pelajar daripada daripada keluarga yang benar-benar memerlukan.

 

Berbalik kepada isu awal pemberian data percuma kepada pelajar yang layak, jika seorang pelajar mendapat RM50 nilai data sebulan, pembiayaan untuk 350,000 pelajar setahun berjumlah RM210 juta. Namun kos berkenaan boleh ditanggung beberapa syarikat telekomunikasi yang meraih perolehan berbilion ringgit.

 

Pada 12 September, Celcom dalam laporan kewangannya mencatat perolehan berjumlah RM1.51 bilion pada separuh pertama tahun ini. Berdasarkan jumlah itu, tidak sukar bagi mereka memperuntukkan sebahagian kecil perolehan demi kesejahteraan rakyat. Program tanggungjawab sosial (CSR) syarikat gergasi ini boleh dikecualikan daripada cukai. – DagangNews.com