Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 30Nov - MIDF Research menganggarkan kerugian yang lebih besar sebanyak RM885.8 juta bagi Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) untuk tahun kewangan 2021 (TK21) berbanding unjuran yang dibuat sebelum ini sebanyak RM565.6 juta.
Ia susulan pengendali lapangan terbang itu merekodkan kerugian yang lebih besar daripada jangkaan MIDF Research sebanyak RM657.3 juta bagi tempoh 9 bulan tahun kewangan 2021 (9MTK21).
MIDF Research berkata, kemerosotan itu disebabkan oleh lantunan semula yang lebih lemah daripada jangkaan dalam trafik penumpang bagi suku tersebut.
"Kami menyemak semula anggaran kerugian untuk TK21 daripada RM565.6 juta kepada RM885.8 juta tetapi mengekalkan unjuran hadapan kami utuh.
"Dengan kebenaran perjalanan antara negeri di Malaysia ditambah dengan pengenalan inisiatif perjalanan antarabangsa yang selamat antara kerajaan, kami percaya trafik penumpang akan dipertingkatkan lagi dalam beberapa bulan akan datang.
"Bagaimanapun, peningkatan kes COVID-19 disebabkan varian baharu kekal sebagai kebimbangan utama. Pada ketika ini kami mengekalkan harga sasaran saham MAHB sebanyak RM6.70 sesaham," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Secara kumulatif, MAHB mencatatkan hasil RM1.12b merosot 30% tahun ke tahun dalam tempoh 9 bulan.
Ini terutamanya diheret oleh operasinya di Malaysia yang menyaksikan penurunan ketara dalam trafik penumpang daripada 23.7 juta penumpang pada 9MTK20 kepada hanya 4 juta penumpang, sebaliknya, trafik penumpang Turki meningkat kepada 17.9 juta penumpang (+42.1% tahun ke tahun).
"Akibatnya, hasil daripada segmen aeronautik turun sebanyak 31.8% tahun ke tahun kepada RM529.3 juta manakala hasil segmen bukan aeronautik merosot kepada RM444.7 juta disumbangkan oleh hasil sewa komersil yang lebih rendah untuk operasinya di Malaysia.
"Sejajar dengan hasil yang lebih rendah yang dijana, kumpulan itu mencatatkan kerugian sebelum cukai LBT yang lebih banyak berjumlah RM825.9 juta," katanya. -DagangNews.com