MAHB dijangka rugi bersih RM439 juta pada 4Q20 | DagangNews Skip to main content

MAHB dijangka rugi bersih RM439 juta pada 4Q20

 Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijangka merekodkan jumlah kerugian yang tinggi bagi tempoh suku keempat 2020 (4Q20) susulan jumlah tempahan penumpang yang rendah pada Januari.

 

RHB Research berkata, kerugian yang bakal ditanggung MAHB pada suku tersebut dijangka berjumlah RM439 juta.

 

"Kami menjangkakan MAHB akan mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM439 juta pada suku keempat 2020.

 

"Bagaimanapun, pemulihan MAHB diunjurkan berlaku pada suku keempat 2021 dan tahun kewangan 2022," jelas RHB Research.

 

Semalam, MAHB dalam satu kenyataan memberitahu bahawa pergerakan penumpang bagi rangkaian lapangan terbang kendaliannya merosot 82.6% kepada 2.1 juta pada Januari 2021.

 

Jumlah tersebut susut mendadak berbanding  11.89 juta pada bulan sama tahun lalu.

 

Malaysia mencatatkan pergerakan penumpang keseluruhan sebanyak 800,000 pada Januari, susut 91.6% daripada jumlah yang dicatatkan pada Januari tahun lepas.

 

Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, Istabul (ISGA) di Turki merekodkan 1.3 juta pergerakan penumpang pada bulan yang sama.

 

Jumlah tersebut menurun sebanyak 55.4% berbanding tahun sebelumnya.

 

Dalam nota kajian yang sama, RHB Research turut percaya bahawa MAHB akan memperoleh manfaat daripada penurunan kes COVID-19 di dalam dan luar negara susulan pelancaran vaksin.

 

Selain itu, jumlah penumpang MAHB juga dianggar meningkat tinggi pada tahun kewangan 2022 bagi operasi di Malaysia dan Turki.

 

Saranan saham MAHB turut ditingkatkan kepada 'beli' berbanding 'neutral' pada sebelumnya.

 

Dalam pada itu, sasaran harga sesaham (TP) turut disemak lebih tinggi kepada RM6.56 berbanding RM4.90 pada sebelumya. - DagangNews.com