MAHB, Dviation bangunkan kemudahan MRO di Lapangan Terbang Subang | DagangNews Skip to main content

MAHB, Dviation bangunkan kemudahan MRO di Lapangan Terbang Subang

 

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan penggiat global tempatan Dviation Group of Companies bekerjasama bagi mewujudkan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang pertama di Asia Tenggara yang boleh menguruskan kitaran hidup penuh aset penerbangan di Lapangan Terbang Subang.

 

Kemudahan baharu itu akan menawarkan perkhidmatan lepas pasaran yang menyeluruh termasuk MRO, merungkas pesawat, mengitar semula bahan pesawat dan perdagangan alat ganti.

 

“Kemudahan baharu ini akan memperkukuhkan lagi kedudukan Lapangan Terbang Subang sebagai hab MRO pilihan di rantau ini memandangkan ia berpotensi merebut sebahagian besar saham pasaran perkhidmatan lepas pasaran berjumlah AS$3.635 trilion di Asia Pasifik dalam tempoh 20 tahun akan datang untuk Malaysia.

 

Ketua KLIA Aeropolis, Randhill Singh berkata, berdasarkan laporan terkini syarikat aeroangkasa dan penerbangan terbesar dunia Boeing, Asia Pasifik menjangkakan penghantaran pesawat tertinggi pada 41% daripada jumlah penghantaran di seluruh dunia adalah dalam tempoh 12 tahun akan datang.

 

Ini diterjemahkan kepada kira-kira 17,500 penghantaran pesawat termasuk berbadan sempit, berbadan lebar, jet dan kapal terbang serantau.

 

“Saiz pasaran perkhidmatan lepas pasaran bagi Asia Pasifik diharap turut meraih pasaran saham terbesar sebanyak 40% daripada jumlah global.  

 

"Kami merebut peluang itu dan komited sepenuhnya untuk mengembangkan industri aeroangkasa dan penerbangan untuk negara,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Menurut Randhill, apabila pesawat tidak lagi beroperasi selepas kira-kira 20 hingga 25 tahun perkhidmatan, dianggarkan 85 hingga 95% daripada beratnya boleh dikitar semula untuk memastikan pembuangan yang sewajarnya.  

 

“Kita juga boleh memanfaatkan banyak komponen berkualiti tinggi yang dihasilkannya.

 

“Proses pelbagai disiplin ini yang melibatkan aspek ekonomi pesawat yang berbeza dan peningkatan prestasi alam sekitar mewujudkan peluang baharu di Malaysia,” tambahnya.

 

Randhill berkata, inisiatif pembangunan semula Lapangan Terbang Subang oleh MAHB akan memastikan kewujudan ekosistem yang holistik dan sesuai pada masa depan untuk berkhidmat di pasaran Asia Pasifik.

 

Syarikat itu turut menyasarkan untuk meningkatkan landskap Malaysia yang berdaya saing dengan menjalinkan perkongsian dengan penyedia penyelesaian penerbangan berpangkalan di Malaysia, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

 

Pengendali lapangan terbang itu berkata, kerjasama berkenaan dibina berasaskan kepakaran Dviation dalam latihan teknikal dan penyelesaian tenaga kerja dalam penerbangan dan latihan berkaitan yang diluluskan.

 

Katanya, ini turut memberi peluang untuk memperkukuhkan ekosistem aeroangkasa yang boleh meningkatkan buruh mahir untuk industri. - DagangNews.com