MAHB jalin kerjasama dengan ExecuJet bangunkan MRO di LTSAAS | DagangNews Skip to main content

MAHB jalin kerjasama dengan ExecuJet bangunkan MRO di LTSAAS

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Dassault Aviation menerusi anak syarikatnya, ExecuJet MRO Services (ExecuJet) melabur sejumlah RM100 juta menerusi jalinan kerjasama bersama Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) untuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) sebagai pusat sehenti penyelenggaraan pesawat.

 

Jalinan kerjasama itu menyaksikan ExecuJet akan menyediakan segala kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) untuk menjadikan lapangan terbang itu sebagai pusat kecemerlangan Dassault Aviation di Asia.

 

Pusat sehenti itu akan menjalankan penyelenggaraan penuh terhadap pesawat Dassault, Bombardier and Gulfstream serta penambahbaikan bahagian dalaman pesawat.

 

Pusat sehenti yang dijangka siap menjelang suku keempat 2023 itu akan dibangunkan di kawasan seluas 144,000 kaki persegi dan boleh memuatkan sehingga 45 pesawat sebulan.

 

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, LTSAAS adalah antara pembangunan yang matang di bawah kluster penerbangan dan aeroangkasa menerusi inisiatif Aeropolis kumpulan dengan sasaran mencipta ekosistem penerbangan yang boleh menarik pelaburan langsung asing.

 

"Pelaburan khusus yang dibuat oleh Dassault Aviation menerusi ExecuJet memberikan petunjuk jelas bahawa operator penerbangan global berkeyakinan terhadap potensi Malaysia sebagai hab aeroangkasa.

 

"Malaysia semakin menjadi pilihan untuk perniagaan penerbangan dan MRO di Asia Pasifik, menerusi pembangunan kemudahan baharu ini oleh ExecuJet, ia akan menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

 

Pengumuman jalinan kerjasama itu dibuat sempena dengan Pameran Penerbangan Selangor 2021 yang berlangsung di LTSAAS.

 

Beliau berkata, pembukaan fasiliti baharu itu akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk tenaga mahir di dalam negara.

 

"Selain menarik pelaburan asing dan menyumbang kepada ekonomi negara, kami akan meningkatkan peluang dari segi pembangunan manusia dengan menaikkan kemahiran pekerja tempatan dengan pengetahuan teknikal serta kemampuan baharu. 

 

"ExecuJet akan membuat pelaburan besar dalam membangunkan tenaga kerja mahir dalam kalangan warga tempatan," katanya.

 

Kerjasama strategik itu akan menyaksikan MAHB menyewakan kawasan seluas 186,000 kaki persegi kepada ExecuJet untuk membangunkan fasiliti MRO untuk pesawat persendirian di LTSAAS yang akan turut dilengkapi bangunan korporat.-Dagangnews.com