KUALA LUMPUR 21 Julai - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) 3 pihak dengan Skyports dan Volocopter bagi menjalankan kajian mengenai pelaksanaan infrastruktur vertiport di Malaysia.
Skyport merupakan pereka bentuk dan pengendali infrastruktur vertiport terkemuka dunia bagi teksi udara elektrik manakala Volocopter merupakan pelopor mobiliti bandar udara (UAM).
Kerjasama itu merupakan sebahagian daripada pelan Regenerasi 5 tahun Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS).
Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, kerjasama baharu itu akan meneroka pelaksanaan revolusi perkhidmatan teksi udara elektrik di LTSAAS serta lokasi lain di seluruh negara.
Katanya, inisiatif ini secara tidak langsung akan meletakkan negara antara peneraju di rantau ini dari segi kesediaan bagi pelaksanaan UAM.
"Teknologi dan revolusi teksi udara merupakan perkara hebat yang kami mahu saksikan berlaku dalam
sektor penerbangan di Malaysia.
"Dengan LTSAAS menawarkan sinergi ekosistem dalam sektor penerbangan dan aeroangkasa, ini adalah masa yang tepat buat kami untuk meneroka perkhidmatan baharu ini memandangkan i akan melengkapi inisiatif regenerasi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi kerjasama itu, ia akan menggabungkan kepakaran syarikat-syarikat terbabit dalam industri penerbangan dan aeroangkasa untuk mengendalikan kajian kemungkinan, memeriksa penyelesaian vertiport yang bersesuaian dan selamat untuk kenderaan penumpang elektrik berlepas dan mendarat.
Antara perkara yang diambil kira dalam kajian ini termasuklah dari segi permintaan, aliran pelanggan dan bagaimana ia mengintegrasikan operasi UAM.
Rantau Asia Pasifik dijangka meraih sekitar 45% daripada pasaran pengangkutan udara termaju (AAM) menjelang 2035, merangkumi kira-kira AS$9.5 bilion. - DagangNews.com