MAHB, Maxis bekerjasama wujud Lapangan Terbang Digital 5G pertama di Malaysia  | DagangNews Skip to main content

MAHB, Maxis bekerjasama wujud Lapangan Terbang Digital 5G pertama di Malaysia 

 

 

 

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) bekerjasama dengan Maxis Bhd. untuk mengembangkan rangka kerja transformasi digital bagi operasi Smart Airport. 

 

Ini merupakan sebahagian daripada inisitiaf Airports 4.0 oleh MAHB yang ingin memanfaatkan Maxis sebagai pengendali telco tunggal untuk menguruskan perkhidmatan kesalinghubungannya. 

 

Menerusi kerjasama ini, Maxis akan menguruskan perkhidmatan dan penyelesaian rangkaian WiFi dan 5G di lapangan terbang utama negara, Lapangan Terbangsa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

 

Maxis juga akan mengembangkan penyelesaian digital berkemampuan 5G untuk penyewa dan pengumpang lapangan terbang Malaysia Airports pada masa hadapan. 

 

Inisiatif transformasi digital menyeluruh oleh MAHB ini telah bermula sejak 2018. Sejak itu, pengendali kapal terbang tersebut meningkatkan usaha untuk meletakkan landasan teknologi yang memungkinkan pelaksanaan inisiatif ini.

 

 

mahb-maxis
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh dalam majlis menjayakan kerjasama strategik kedua-dua pihak yang diadakan secara maya. 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, penggunaan 5G akan memperkuatkan asas untuk membolehkan teknologi baharu dan digitalisasi operasi lapangan terbang. 

 

Katanya, ia juga membantu dalam mencipta pengalaman perjalanan baharu yang pintar untuk penumpang. 

 

"Dengan kerjasama ini, kedua-dua pihak akan bersama membuat kes penggunaan dan penyelesaian 5G untuk Smart Travel and Tourism, serta Smart Retail dan Smart Security. 

 

"Kami berharap perkongsian ini dapat mengubah lapangan terbang kami menjadi Smart Airport,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ketersediaan perkhidmatan dan penyelesaian rangkaian 5G di lapangan terbang oleh Maxis akan memudahkan dan meningkatkan transformasi ekosistem digital KLIA (termasuk klia2) dalam semua aspek termasuk kesalinghubungan dan pengembangan penyelesaian pintar.

 

Dengan kesalinghubungan terkemuka Maxis, liputan Wi-Fi di kedua-dua terminal di KLIA akan ditingkatkan untuk memberikan pengalaman lapangan terbang yang lebih baik. 

 

Infrastruktur Smart Wi-Fi adalah penyelesaian holistik dengan keupayaan seperti analisis data, yang mana peruncit lapangan terbang dapat memanfaatkan sumber ini untuk memahami tingkah laku pelanggan dengan lebih baik dan memanfaatkan pemasaran pelbagai saluran dan memastikan pengalaman penjualan yang lancar.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, Maxis berhasrat untuk memulakan kerja dengan MAHB bagi meningkatkan pengalaman dan perkhidmatan kesalinghubungan mereka kepada pelawat dan penumpang.

 

"5G berpotensi tinggi dan memungkinkan pengalaman pelanggan yang lebih baik, dan kami komited untuk memainkan peranan kami untuk menawarkan inovasi 5G terbaik untuk memberi manfaat kepada orang ramai dan perniagaan di negara ini dengan kepakaran dan sumber kami," katanya.

 

MAHB dan Maxis akan bersama mengembangkan penyelesaian Smart Retail serta Smart Travel dan Tourism yang akan memberikan pengalaman peribadi yang tiada tandingan bagi penumpang. 

 

Ini termasuk membina platform Tourist Hub untuk penumpang mempunyai akses ke panduan perjalanan, promosi dan tawaran. 

 

Matlamat jangka panjang adalah untuk mewujudkan ekosistem digital penyelesaian yang ada di MAHB dan penyelesaian baharu yang dikembangkan oleh Maxis untuk mengubah lapangan terbang dengan pengalaman 'mengutamakan pelanggan'. - DagangNews.com