MAHB perlukan 'lampu hijau' kerajaan bangunkan lapangan terbang Subang | DagangNews Skip to main content

MAHB perlukan 'lampu hijau' kerajaan bangunkan lapangan terbang Subang

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 14 Julai - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)  berharap kerajaan dapat memberi persetujuan dalam tempoh terdekat terhadap Pelan Regenerasi Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS). 

 

Pelan pembangunan semula itu amat penting untuk memacu pengembangan pemain industri aeroangkasa di negara ini, menurut Pengurus Besar KLIA Aeropolis Sdn Bhd (KASB), Randhill Singh dalam kenyataan hari ini.

 

Jelasnya, pembangunan semula Terminal 2 itu amat penting untuk meletakkan kedudukan Malaysia sebagai pangkalan terbesar keempat bagi armada jet perniagaan di rantau Asia Pasifik. 

 

Malah, katanya, pelan itu juga akan menjadi pemangkin untuk mengembangkan pasaran perniagaan penerbangan tempatan sehingga 3 kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang. 

 

"Rakan penerbangan antarabangsa kami yang berpangkalan di Malaysia dan diiktiraf di dunia akan menjadi pemacu utama dalam menjadikan LTSAAS sebuah lapangan terbang dengan landskap penerbangan yang kompetitif.

 

"Kami cuba merebut peluang ini dan kekal komited sepenuhnya dalam mengembangkan industri penerbangan aeroangkasa dan perniagaan di negara ini," katanya.

 

 

Randhill Singh
Randhill Singh

 

 

Pada 25 Jun lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan kerajaan tiada perancangan untuk menjual mana-mana hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk LTSAAS, kepada mana-mana pihak.

 

Bagaimanapun, hingga kini, difahamkan MAHB belum memperoleh 'lampu hijau' bagi meneruskan pelan Regenerasi seperti yang dirancang meskipun syarikat tersebut masih memiliki pajakan selama 60 tahun, sehingga 2067.

 

Di bawah pelan Regenerasi LTSAAS, Terminal 2 akan dibangunkan semula menjadi hangar dengan kemudahan tercanggih bagi menjalankan perniagaan penerbangan. 

 

Pelan ini dipacu oleh permintaan pemain industri di lapangan terbang tersebut, antaranya, Berjaya Air Sdn. Bhd. dan Smooth Route Sdn. Bhd.

 

Kedua-dua syarikat juga telah menyatakan komitmen mereka untuk mengisi ruang tambahan yang ditawarkan menerusi kemudahan baharu tersebut.

 

Pada April lalu, MAHB dilaporkan memperuntukkan pelaburan RM1.3 bilion bagi membangunkan semula lapangan terbang itu menjadi hab perniagaan penerbangan dan aeroangkasa Asia Pasifik dalam masa 5 tahun akan datang.

 

Pembangunan yang bermula awal tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026 atau 2027 itu akan dimajukan oleh anak syarikat MAHB, KLIA Aeropolis.

 

Ia bakal menyaksikan tambahan ruang sekitar 8 juta kaki persegi kepada lapangan terbang Subang atau kira-kira 300% daripada kapasiti semasa lapangan terbang itu akan melengkapkan matlamat sebahagian inisiatif MAHB menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan di rantau ini.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Berjaya Air, Arthur Lee berkata, sebagai antara operator yang mula-mula beroperasi di LTSAAS sejak 1980, pihaknya berharap pelan itu dapat direalisasikan. 

 

"Ini akan meletakkan Berjaya Air sebagai peneraju pengendali pesawat komersial bagi destinasi domestik dan serantau menerusi pesawat ATR42-500," katanya.

 

Pengurus Besar Smooth Route, Vivian Mathews berkata, lapangan terbang Subang berada di lokasi yang strategik bagi perniagaan penerbangan dan mendapat manfaat kerana kedudukannya yang dekat dengan Kuala Lumpur dan syarikat multinasional.

 

"Dalam hal ini, kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan MAHB bagi merealisasikan pelan Regenerasi ini kerana ia menawarkan banyak potensi pertumbuhan di Malaysia dan juga di peringkat serantau. 

 

"Malah, pelan ini yang akan menempatkan kemudahan terkini dapat membantu kami dalam menyokong inisiatif Pelan Tindakan Aeroangkasa Malaysia 2030," jelasnya. - DagangNews.com