MAHB sediakan RM1.3 bilion bangunkan semula Lapangan Terbang Subang | DagangNews Skip to main content

MAHB sediakan RM1.3 bilion bangunkan semula Lapangan Terbang Subang

 

KUALA LUMPUR 20 April -  Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memperuntukkan dana sebanyak RM1.3 bilion bagi membangunkan semula Lapangan Terbang Subang menjadi hab perniagaan penerbangan dan aeroangkasa Asia Pasifik dalam masa lima tahun akan datang.

 

Pembangunan yang bermula awal tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026 atau 2027 itu akan dimajukan oleh anak syarikat MAHB, KLIA Aeropolis Sdn Bhd (KASB).

 

Pengurus Besar KASB, Randhill Singh, berkata pelan induk pembangunan semula Lapangan Terbang Subang yang kini sudah dimajukan menerusi kerja-kerja tanah itu dijangka mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi apabila siap sepenuhnya menjelang tahun 2027.

 

Pembangunan yang bakal memberi tambahan ruang sekitar lapan juta kaki persegi kepada Lapangan Terbang Subang atau kira-kira 300 peratus daripada kapasiti semasa lapangan terbang itu akan melengkapkan matlamat sebahagian inisiatif MAHB menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan di rantau ini.

 

Pelan induk pembangunan semula Lapangan Terbang Subang akan meliputi sekitar 101.2 hektar daripada 161.9 hektar bagi pembangunan industri di kawasan berkenaan membabitkan tiga bahagian utama iaitu menjadi lapangan terbang bandar; perniagaan penerbangan; dan ekosistem aeroangkasa.

 

Pelaburan RM1.3 bilion dalam tempoh lima tahun bagi pembangunan semula Lapangan Terbang Subang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu RM1 bilion bagi membangunkan kemudahan dan baki RM300 juta lagi bagi pembangunan infrastruktur asas seperti laluan masuk, tempat letak kenderaan serta pusat makanan dan minuman (F&B).

 

"Pelaburan yang akan disuntik menerusi dana dalaman MAHB termasuk pinjaman dan perkongsian pintar pelaburan dengan peserta industri aeroangkasa serta penerbangan ini dijangka mencetus impak ekonomi melebihi RM5 bilion daripada penerbangan, komersial, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta sektor pembuatan aeroangkasa," katanya dalam taklimat media di sini, menurut Berita Harian.

 

subang

 

Lapangan Terbang Subang atau dikenali sebagai Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah mula dibuka pada 1965 dibangunkan di atas tanah berkeluasan 404.7 hektar dengan 161.9 untuk pembangunan.

 

Lapangan terbang kendalian MAHB yang menjana pendapatan tahunan sekitar RM1.7 bilion itu turut memiliki kira-kira 4,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi menerusi pembabitan 60 syarikat penerbangan dan aeroangkasa, perniagaan penerbangan, helikopter, MRO, pembuatan penerbangan dan logistik.

 

Mengulas lanjut, Randhill berkata, MAHB akan bangunkan Lapangan Terbang Subang membabitkan dua komponen iaitu bahagian udara dan darat bagi menjadikan ia sebagai hab penerbangan berkelas dunia.

 

Bagi bahagian udara, tambahan sekitar 20 pengendali bersaiz sederhana dan besar dalam kerangka berat/asas MRO, penyelenggaraan, helikopter dan sewa jet, manakala bahagian darat pula merangkumi tambahan 14 lagi operator bagi pembuatan aeroangkasa, komponen dan enjin MRO.

 

"Pembangunan semula lapangan terbang ini akan merangkumi kira-kira 4 juta kaki persegi bahagian udara untuk menempatkan hangar, helikopter dan perniagaan penerbangan lain, manakala baki lebih tiga juta lagi bahagian tanah membabitkan komponen MRO, pembuatan aeroangkasa dan pembangunan modal insan.

 

"Kami sedang mengadakan perbincangan serius dengan lima peserta global dalam OEM komponen MRO, MRO perniagaan penerbangan, MRO turboprop, MRO komponen bebas dan mobiliti udara termaju.

 

"Kami juga ingin mengumumkan bahawa dua peserta MRO akan memeterai perjanjian dengan MAHB dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Kami jangkakan dua kemudahan MRO beroperasi menjelang 2023," katanya.

 

LM350

 

Pembangunan yang kini memasuki kemajuan 25% atau 24.3 hektar daripada pembangunan semula keseluruhan 101.2 hektar dijangka menjana pulangan positif dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 

"Lapangan Terbang Subang dijangka menerima lima juta penumpang setahun dan menjadi terminal yang menggunakan teknologi bagi meningkatkan tahap kecekapan dan kapasitinya.

 

"Ia juga akan menempatkan kedudukan sebagai hab rantaian nilai dan perkhidmatan perniagaan penerbangan, selain turut memperkemaskan ekosistem aeroangkasa menerusi penggunaan pelbagai teknologi," katanya. - DagangNews.com