Mahkamah Syariah Johor iktiraf hibah digital Wasiyyah Shoppe | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Syariah Johor iktiraf hibah digital Wasiyyah Shoppe

Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 April - Wasiyyah Shoppe Bhd memperoleh perintah pengesahan hibah pertama untuk dokumen hibah digital pelanggannya yang disediakan melalui aplikasi mudah alihnya, Usra Hibah Digital Document (UsraHDD) pada 31 Mac lalu daripada Mahkamah Syariah Johor.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin berkata, perintah pengesahan hibah yang diperolehi untuk dokumen hibah melalui UsraHDD itu membuktikan bahawa Mahkamah Syariah mengiktiraf dokumen hibah digital dan pihaknya berbangga kerana menjadi pelopor kepada kaedah digital itu di Malaysia.

 

Beliau berkata, dengan perintah pengesahan hibah untuk dokumen hibah UsraHDD itu, Wasiyyah Shoppe muncul sebagai satu-satunya syarikat amanah di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan hibah melalui digital terbukti berkesan dari sudut undang-undang. 

 

 

 

 

"Kejayaan itu membuka peluang besar kepada Wasiyyah Shoppe untuk meneroka kerjasama pasaran institusi kewangan domestik dan antarabangsa sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia.  

 

"Kami menjangkakan seramai 20,000 pelanggan akan menggunakan aplikasi mudah alih UsraHDD pada tahun kewangan 2024 dan 2025 dengan nilai transaksi mencecah RM40 juta.," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

UsraHDD ialah sistem aplikasi mudah alih pelaksanaan akad hibah digital melalui telefon bimbit tanpa kertas pertama di dunia, merupakan sistem inovatif yang dibangunkan oleh kepakaran dalaman kumpulan yang dilancarkan pada Mac 2023.

 

 

Wasiyyah

 

 

Ariffin berkata, melalui sistem itu, pemberi dan penerima hibah boleh berakad secara digital melalui telefon bimbit pada masa sebenar (realtime) dan boleh dibuat di mana-mana sahaja.

 

Beliau berkata, dokumen hibah beserta syaratnya yang telah sempurna diakadkan akan disimpan di sistem awan dan boleh dicapai oleh pemberi dan penerima hibah pada masa yang mereka perlukan.

 

“Aplikasi mudah alih ini dicipta sepenuhnya oleh pakar teknologi anak tempatan dalaman Wasiyyah Shoppe dan teknologi yang pertama seumpamanya di dunia. 

 

"Kami tidak mengubahnya daripada mana-mana sistem lain kerana teknologi seumpamanya memang tidak wujud di dunia pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ariffin berkata, sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, pihaknya telah membangunkan pelbagai kaedah dalam talian untuk memudahkan pelanggannya berakad hibah tanpa perlu bertemu secara fizikal.

 

 

Wasiyyah

 

 

Tambahnya secara tradisional dokumen hibah perlu ditandatangani secara fizikal dan semua pemberi dan penerima hibah perlu berkumpul untuk majlis akad hibah.

 

"Namun ketika Malaysia di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kaedah itu tidak boleh dilaksanakan. 

 

"Kami telah berinovasi dan melancarkan kaedah hibah melalui televideo pertama di Malaysia dan ini memudahkan pelanggannya berakad hibah tanpa perlu bertemu secara fizikal," katanya. - DagangNews.com