Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Jan. - Majikan yang menjalankan operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 diberi kelayakan untuk memohon Program Subsidi Upah (PSU) 3.0.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program yang diperkenalkan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ditambah baik melalui matlamat ketiga untuk menyokong kelangsungan perniagaan di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (Permai).
"Program Subsidi Upah 3.0 di bawah PERKESO akan ditambah baik, di mana semua majikan yang beroperasi dalam PKP layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor.
"Untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang dari RM4,000.
"Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja," jelas beliau ketika mengumumkan pakej Permai hari ini.
Pakej bantuan Permai diumumkan untuk menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan.
Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah pakej tersebut yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Tambah Muhyiddin, inisiatif dan penambahbaikan tersebut melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion.
Peruntukan berkenaan dianggar akan memanfaatkan 250,000 majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja. - DagangNews.com