Makmal analisis NR-REE pertama jadikan Perak hab komprehensif, rujukan industri mineral | DagangNews Skip to main content

Makmal analisis NR-REE pertama jadikan Perak hab komprehensif, rujukan industri mineral

Lombong NR-REE Perak di Mukim Kenering, Gerik.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 12 Okt - Perak yang bakal menubuhkan makmal nadir bumi bukan radio aktif (NR-REE) berpotensi untuk menjadi hab komprehensif dan pemangkin industri mineral tersebut di negara ini.

 

Ini juga merupakan makmal NR-REE yang pertama di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) Anuar Zainal Abidin berkata, makmal NR-REE bakal merancakkan lagi sektor industri tersebut.

 

Anuar
Anuar Zainal 

 

Menurut beliau, ia juga selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 berhubung perlombongan bertanggungjawab.

 

"Makmal analisis NR-REE ini juga berupaya membantu Perak menjadi pemangkin pada peringkat huluan yang akhirnya memberi nilai tambah kepada peringkat pertengahan dan peringkat hiliran masa depan.

 

"Ini sekali gus menjadi penanda aras penting bagi pembangunan industri nadir bumi, bukan sahaja di Perak, tetapi di Malaysia secara keseluruhan,'' katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas beliau lagi, keupayaan makmal itu tidak terhad kepada menganalisis REE sahaja malah membabitkan mineral lain yang berpotensi untuk diperkembangkan pada masa hadapan.

 

Lawatan

 

Lawatan
Sebahagian delegasi kerajaan negeri Perak dan agensi berkaitan semasa melawat ke kawasan perlombongan NR-REE di Mukim Kenering.

 

Katanya, hasil daripada analisis berkenaan boleh disimpan dalam satu pangkalan data sebagai rujukan kerajaan pada masa akan datang.

 

Terdahulu media melaporkan, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan Perak bakal membina makmal berkenaan.

 

Ia mendapat kebenaran dari Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA).

 

Makmal itu akan dibangunkan tiga agensi di bawah kerajaan negeri iaitu MB Inc, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

 

Lawatan

 

Projek perintis perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, Hulu Perak dengan keluasan 87 hektar berjaya menjana hasil royalti hampir RM16 juta kepada kerajaan Perak.

 

Ia adalah hasil daripada 10 kali pengeksportan nadir bumi karbonat (REC) ke negara China, setakat Julai lalu.- DagangNews.com