Malacca Securities syor 'beli' saham Rexit, FV RM0.83 | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities syor 'beli' saham Rexit, FV RM0.83

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Julai - Malacca Securities memulakan liputan terhadap Rexit Berhad dengan saranan 'beli' pada nilai wajar (FV), RM0.83.

 

Firma menyukai kumpulan itu keranan strategi berterusan mereka dalam mendapatkan pelanggan baharu serta perniagaan baharu daripada pelanggan sedia dan memasuki pasaran antarabangsa.

 

Katanya, dua pelanggan baharu yang akan hadir pada FY23 dan FY24 merupakan pengiktirafan kepada komitmen kumpulan dalam megembangkan pasaran mereka.

 

"Pada masa hadapan kami percaya pelanggan baharu akan menjadi pemangkin kepada perkembangan kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Rexit memulakan perniagaan pada 1998 dan sejak itu mereka telah berkembang menjadi antara penyedia penyelesaian terkemuka kepada industri insurans am.

 

Firma itu berkata, kelebihan Rexit adalah kepakaran, pengalaman serta reputasinya yang kukuh dalam industri dan kesemuanya diperlukan untuk mengekalkan pelanggan.

 

Teras kelebihan daya saing Rexit ialah kepakaran, pengalaman dan reputasinya yang kukuh dalam industri, yang kesemuanya penting untuk pengekalan pelanggan.

 

Katanya, keadaan akan menjadi sukar untuk pemain industri baharu untuk memperoleh bahagian pasaran tanpa memiliki keupayaan untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan.

 

"Pengalaman yang dimiliki kumpulan itu juga boleh digunakan dalam membangunkan penyelesaian untuk syarikat insurans yang berbeza bagi membantu syarikat menjimatkan kos," katanya.

 

Firma itu berkata, GlobalData mengunjurkan industri insurans am di Malaysia akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 4.8% daripada RM17.67 bilion pada 2021 kepada RM22.31 bilion pada 2026 didorong oleh peningkatan permintaan untuk motor dan hartanah. - DagangNews.com