Malakoff catat hasil lebih rendah bagi tempoh 9M21 kepada RM4.52 bilion | DagangNews Skip to main content

Malakoff catat hasil lebih rendah bagi tempoh 9M21 kepada RM4.52 bilion

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Malakoff Corp Bhd. mencatat hasil yang lebih rendah bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021 (9M21), susut 5.1% kepada RM4.52 bilion daripada RM4.76 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Penurunan ini terutamanya disebabkan bayaran tenaga yang lebih rendah direkodkan dalam tempoh berkenaan memandangkan penurunan dalam faktor penghantaran sebahagian besarnya daripada Loji Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. (SEV) dan Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (TBP).

 

Bagaimanapun, untung bersih bagi tempoh itu meningkat kepada RM245.34 juta daripada RM244.94 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, Malakoff merekodkan hasil sebanyak RM1.58 bilion, meningkat 6.8% daripada RM1.48 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Ini terutamanya disebabkan bayaran tenaga lebih tinggi menerusi TBP, Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (TBE) disokong harga arang batu terpakai yang lebih tinggi.

 

Namun, sebahagiannya diimbangi oleh bayaran tenaga yang lebih rendah direkodkan daripada loji gas iaitu SEV, GB3 Sdn. Bhd. (GB3) dan Prai Power Sdn. Bhd. (PPSB) memandangkan penurunan dalam faktor penghantaran. 

 

Untung bersih bagi tempoh itu meningkat kepada RM67.16 juta daripada RM50.8 juta bagi tempoh sama sebelumnya. 

 

Bagi perbandingan suku ke suku, untung bersihnya bagaimanapun susut 42.96% daripada RM117.73 juta yang direkodkan pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021.

 

Mengenai prospek kumpulan, Malakoff menjangkakan keseluruhan prestasi kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 kekal memuaskan.

 

Tambahan pula, katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, inisiatif tenaga diperbaharui (RE) dan kecekapan tenaga akan dipertingkatkan bagi membolehkan negara beralih kepada negara rendah karbon. 

 

"Malah, dalam Bajet 2022 juga memperkukuhkan komitmen kerajaan ke arah agenda kemampanan negara. 

 

"Perkembangan ini dilihat satu petanda yang baik kepada fokus kumpulan dalam RE dan perkhidmatan alam sekitar di bawah pelan pertumbuhan strategik," jelasnya. - DagangNews.com