NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 22 Nov - Malaysia Airports meneruskan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) bersama Yayasa Kasih dengan menyampaikan sumbangan sebanyak RM430,000 kepada 860 penerima golongan B40 menerusi inisiatif #MYAirportCARES.
Penerima sumbangan itu terdiri daripada komuniti setempat dengan mereka menerima bantuan RM500 yang disalurkan secara berkala pada bulan Oktober hingga Disember.
Wang yang disalurkan secara elektronik ke dalam MyKad setiap penerima adalah bertujuan bagi pembelian barang keperluan asas di pasaraya terpilih.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, pandemik telah memberi kesan kepada komuniti terutamanya warga kerja komuniti lapangan terbang sendiri yang majoritinya terdiri daripada golongan B40.
"Namun, hasil kerjasama bersama Yayasan MyKasih telah berjaya meringankan beban mereka yang terkesan tanpa mengira bangsa dan agama.
"Kami berharap dengan pemulihan ekonomi negara secara beransur ini akan dapat memberi semangat baru kepada mereka.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis penyerahan sumbangan itu telah diadakan baru-baru ini di KIPMall Kota Warisan, Sepang sebagai simbolik sumbangan daripada Malaysia Airports.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Pemegang Amanah Yayasan MyKasih, Datuk Yaacob Amin dan Ketua Jabatan Pengurusan Muzakki, Lembaga Zakat Selangor Khairul Azhan Ahmat.
"Kami amat berterima kasih kepada pihak Malaysia Airports kerana dapat bekerjasama meringankan beban keluarga yang terkesan akibat wabak COVID-19 yang telah menjejaskan pekerjaan dan pendapatan mereka.
"Kami berharap dengan usaha kemasyarakatan seperti ini, ramai lagi dari sektor korporat akan berganding bahu dalam memastikan kesejahteraan komuniti setempat, sejajar dengan visi dan misi MyKasih iaitu ‘Creating Loving & Caring Neighbourhoods," kata Pengerusi Yayasan MyKasih, Tan Sri Dr. Ngau Boon Keat.
Seratus peratus dana dari pihak penyumbang disalurkan kepada golongan penerima secara tanpa tunai melalui MyKad untuk pembelian barang makanan asas di kedai atau pasaraya yang terlibat.
Sejak ditubuhkan, RM380 juta telah disalurkan kepada 600,000 keluarga dan pelajar B40 di seluruh Malaysia dalam bentuk barang makanan dan pembelajaran asas.-Dagangnews.com